Pages

Ads 468x60px

15 December 2010

Catatan ringkas.


~Manisnya menuntut ilmu~
 Mendengar syarahan qawaid fiqhiyyah dari kitab Al-Ashbah wan Nazoir, oleh Sheikh Ahmad Al-Hajain melahirkan sebuah makna penting . Ketika berhadapan pula dengan Sheikh Yusri Al-Hasani yang mengajar Sunan Abi Dawud , makna yang sama berulang. Teramat ajaib kerana makna tersebut juga terlontar dari lisan Sheikhul Mashayikh Mufti Nuruddin Ali Jumuah sepanjang pengajian tafsir beliau.Makna yang dimaksudkan adalah rahmat.

Ketahuilah bahawa Islam adalah seruan rahmat, mahabbah dan kecintaan. Inilah makna yang nyata dari Kalamullah, Sunnah dan juga syariat Islam.  Dialah Allah  yang menamakan diri dengan Ar-Rahman dan Ar-Rohim dan Saidina Muhammad SAW bagindalah insan yang paling menyayangi, berbelas kasihan dan nabi rahmat kepada alam seluruhnya.

Ingatlah wahai Daie sekalian, setiap perhubunganmu dengan makhluk hendaklah disertakan pandangan belas dan rahmat. Sebagaimana Allah tidak jemu mengampunkan dan mengasihimu, begitulah juga akhlakmu terhadap makhluk-Nya. Inilah akhlak yang akan menyampaikan kamu pada kecintaan Allah. Kemudian makna kasih sayang ini harus dipasak dan disuburkan saban hari  dalam jiwa generasi ummat seluruhnya samada ijabah atau ummatun dakwah. Akhirnya, jalan menyingkap makna rahmat ini adalah dengan berdampingan dengan ulamak kerana  mereka pewaris akhlak Nabi SAW.

من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين
Salam satu fikrah satu amal.
Azzikru wal fikru.
Fadeer Pauzi,
Jamie' Al-Azhar,Kaherah.

20 November 2010

Oh, cukuplah kedipan..


Bila hati merindu
 bibir membisu...
runcing jari-jemari kaku

oh, cukuplah kedipan
terus pejam..
selami lautan rindu.

~ Fadeer Pauzi,
Baitul Qurra', Husein.

30 August 2010

Risalah Buat Pemuda Islam (1) - الموعظة الحسنة للمرابطين في أمر الدعوة إلى الله

Dakwah kita adalah seruan ubudiah atau pengabdian diri kepada Allah SWT. Kita mengajak masyarakat ke arah ketundukan mutlak kepada Robb dan pencipta alam ini. Masyarakat yang dicita-citakan adalah masyarakat yang cinta serta beradab terhadap agamanya, menyanjung tinggi Islam sebagai Deen yang mengatur setiap perilaku, ucapan dan gerak-gerinya, juga masyarakat yang kembali berhukum dengan undang-undang Tuhannya bahkan sedia menolak  program berfikir sekularisme yang menyesatkan lagi terkeji.

Ingatlah wahai pemuda sekalian pada hakikat bahawa perjuangan kita adalah membina generasi yang ubudiahnya mutlak kepada Allah tanpa sedikitpun unsur-unsur kesyirikan. Ketahuilah pula bahawa  perkumpulan-perkumpulan yang ditegakkan demi dakwah ini adalah seruan ubudiah. Inilah tanggungjawab besar yang harus dipikul kalian yang telahpun menghirup udara segar kebangkitan Islam. Sesungguhnya ubudiah  hanyalah berdiri di atas tiga perkara asas iaitu:

   1. Iman yang benar lagi tulus. (صدق الإيمان)
   2. Pegangan teguh dengan pertimbangan ilmu dan tuntutan Al-Quran. (التمسك بالعلم والقرآن)
   3. Beramal dengan pedoman yang terang dan betul. (العمل على بصيرة )

29 August 2010

Talaqqi via YM

Saya yakin dan percaya  tidak sedikit rakan-rakan yang menggunakan kemudahan internet untuk menyampaikan dakwah melalui tulisan-tulisan di blog-blog ,facebook dan lain-lain lagi. Tetapi ramaikah di kalangan kita yang mengunakan Yahoo Messenger contohnya sebagai wasilah untuk belajar dan mendalami agama selain chat sesama kenalan pada kebiasaannya.

Saya takjub apabila melihat guru kami, Syeikh Sayyid Harun sedang mengajar cara bacaan Al-Quran yang sahih kepada murid-muridnya yang tinggal berbatu-batu jauh dengan sekadar duduk di hadapan komputer riba. Beliau membaca ayat demi ayat dan diikuti suara bacaan murid-muridnya yang jelas kedengaran. Bahkan pernah sekali ketika beliau mengajar di luar markaz, kami diarahkan ikut serta mendengar dan mengulang bacaannya melalui suara dan visual yang dipasang secara langsung. Petang tadi juga kelihatan seorang sahabat serumah hanya berinteraksi melalui Yahoo Messenger bersama guru peribadinya untuk membetulkan bacaan Al-Quran.

Saya mula terfikir kenapa tidak rakan-rakan yang jauh dari tempat-tempat pengajian menggunakan cara yang sama untuk mendalami agama. Lebih-lebih lagi pelajar-pelajar  yang mengambil jurusan perubatan contohnya, walaupun berada di negara-negara luar anda masih berkesempatan menimba ilmu agama di celah-celah kesibukan jadual kuliah di universiti. Mintalah bantuan daripada kenalan-kenalan yang mengambil jurusan agama di  Al-Azhar As-Syarif. Insya-Allah mereka akan sudi menghulur bantuan.

Saya sekadar melontar saranan. Sudah saya kemukakan contoh-contoh yang disaksikan sendiri di depan mata. Semoga rakan-rakan yang peribadinya sentiasa berlumba-lumba menuju kebaikan mengambil inisiatif untuk meningkatkan kualiti diri masing-masing.

Salam satu fikrah satu amal.

26 August 2010

Bidadariku



Bidadariku bak ranumnya tamar
Luaran adalah kelembutan
Tegasnya seperti butir.

*****

)


Fadeer Pauzi,
Husein,Kaherah.

18 May 2010

Butir-butir keemasan


Perjalanan
Berteman butir-butir keemasan
Menyinar cahaya

Kehidupan 
Berteman cebis-cebis kenangan
Menyubur cinta.

~ Selamat Hari Guru ~

Kota Seribu Menara,
Fadeer Pauzi

17 May 2010

Apple of love

Di manakah akan kupetik
Merah hati
Tomato cinta
Agar segar berputik
Madah cinta 
Bertangkai sakti


Apple of love,
Fadeer Pauzi

07 May 2010

Talaqqi.

Salam perjuangan buat sahabat semua. Tulisan terbaru ini sekadar catatan ringkas tentang perkembangan semasa kami di perlembahan Nil ini. Blog yang diberi nama "Sentuhan Hati" hanyalah sekadar puisi hati yang menyirat koleksi sejarah. Segala bentuk tulisan yang menggambarkan kecenderungan atau pemikiran penulis sedayanya cuba dihindarkan daripada menjadi tatapan pembaca. Terimalah seadanya. Moga kita saling bersangka baik  dan berkasih sayang selaku hamba yang bertauhidkan Tuhan yang Maha Sempurna.

Nampak judul-judul kitab di atas? Inilah antara kitab yang menjadi pengajian kami di Masjid Azhar. Belajar yang diistilahkan sebagai "talaqqi" untuk memahami kalam ilmu daripada guru-guru yang ikhlas perlukan kesungguhan. Kelas-kelas pengajian semakin banyak hingga terpaksa membuat pilihan mengikut kecenderungan dan keutamaan . Antara kitab-kitab yang baru disyarahkan oleh guru-guru kami adalah Dalilul Falihin (syarah kitab Riyadhus Salihin), Futuhaat Rabbaniah (Syarah Al-Azkaar An-nawawiah), dan Ghoyatul Bayan (syarah matan Zubad ibnu Ruslan).
Seusai solat Asar berjemaah sebelum masuk semula ke Ruwak al-Atrak.


Suasana senja di Masjid Azhar. 

01 May 2010

Hati ini menangis..


Hati ini menangis
 kerana alpa
bukan tangis kerana cinta

Mohd Fadeer Mohd Pauzi
Hussein, Kaherah
1 Mei 2010.

12 April 2010

bagaimanakah cinta bermula dan bagaimanakah cinta berakhir

dengan sepatah kata ‘sayang’
maka cinta pun bermula

pernahkah kau bertanya
bagaimana cintamu bermula
dan telah membawamu jauh
terpukau ke belantara asyik

ke manakah engkau berjalan
mencari jejak cintamu
yang hilang di dalam kabut
yang hilang di dalam awan

mujurlah kau cepat sedar
dari kekhilafan lalu mencari tapak
dan jejak jalan pulang ke rumah
dirimu yang berbuka jendela dan pintu

dengan sepatah kata ‘benci’
maka cinta pun berakhir

Rumah Pena
4 April 2010 

~ Rahimidin Zahari

10 April 2010

Birunya tasik.


Tenang hati
seperti birunya tasik
Senyum hati
kerna bidadari mengusik..

~ Alexandaria, Egypt.

07 April 2010

Hanya berduri..

-->
Hanya berduri
gondol dan kering
bila sanubari
hilang harga diri.

~ Fadeer Pauzi
Jamie' Al-Azhar, Kaherah.

06 April 2010

Biru itu warna alam..

-->

Biru itu warna alam
meski laut dalam dan kelam

Cantik itu adalah iman
meski miskin dan menumpang




 ~ Fadeer Pauzi
Ardu Humaisarah, Aswan.

15 March 2010

Tuhan Maha Bijaksana

Hina 
kerna dari tanah 
mulia
kerna dari api
taat 
kerna dari cahaya
Tidakkah
Tuhan Maha Bijaksana

  

 .: كل ما فوق التراب تراب .:
 
~ Fadeer Pauzi
Ruwak al-Maghoribah, Jamie' Al-Azhar.

14 March 2010

Mengejar angin cinta..


Di mana ada bunga
Di situ ada kumbang

Di mana ada pertemuan
Di situ ada cinta

 ~ Fadeer Pauzi
Kota Seribu Menara, Kaherah.

11 March 2010

Dari alam memintal benang

 
 Dedaunan hijau selamanya tersenyum
Seringkali kehujanan  tiada berpayung
Biar berteman  debu-debu jalanan
 Memujuk  murka suria membahang
Sekiranya  tunduk bersama ciptaan
Masihkah makrifah berjasad insan
Dari alam memintal  benang
Tenun gamis buat perjuangan?

Seluruh alam menangisi pemergian Al-Marhum Al-Imamul Akbar Al-Ustaz Dr Muhammad Sayyid Tantawi Sheikhul Azhar mengadap Ilahi. Cukuplah karya agung beliau, Tafsir Al-Waseet berjasa besar kepada Muslimeen.

~ Fadeer Pauzi
Universiti Al-Azhar,Kaherah.

01 March 2010

Sekali kau hulurkan tangan..

 

Pada kuning helain
Menari-nari baris kalam
Siang berganti malam
Temani merdu nyanyian
Pada putih kain
Dakwatkan  not-not cinta 
Warna-warni mencorak  iman
Gerak seni seorang pejuang
Sekali kau hulurkan tangan
Selamanya kau beri senyuman..

~ Fadeer Pauzi
Universiti Al-Azhar, Kaherah.

27 February 2010

Perarakan cinta..

 

Semalam tangiskan hujan
Melepas rajuk terpendam
Angin rupanya mengusik tenang
Debu-debu lari bertempiaran
Sembunyi di balik runtuhan
Esok sudah ketawa
Perarakan cinta
Menyeri jalanan


& Salam Maulidur Rasul &

~ Fadeer Pauzi
  Sharie' Al-Azhar, Kaherah.

17 February 2010

Tahniah..

Hari ini,
Nasi berlaukkan ikan tua..
Esok,
Jelmalah mimpi beristeri dua..

Ewah-ewah...tak sayang mulut ni(huhu). Sebetulnya, sedap nikmati makanan hari ini sebab seharian ustaz fadeer membantu jayakan Bazaria Terbuka HEWI KPKM(macam x percaya).

Baru balik berkhidmat.Penat. Tengoklah gambar kahwin Ubaid bin Akla. Sahabat seperjuangan.

13 February 2010

Huh..

Hari yang memenatkan. Selepas solat jumaat di masjid Azhar kami terus menaiki teksi ke Sayyidah Aisyah. Misi menambah koleksi ikan hiasan berjaya. Puas hati. Kemudian terkejar-kejar balik ke rumah. Selesai masukkan ikan dalam aquarium, terus bertolak ke Hayyu Sabie'. Sekian lama, akhirnya kembali jadi anak usrah. Adeh..x larat tulis panjang-panjang. OKlah.Nak tengok ikan-ikan kesayangan..salam wbt.



12 February 2010

Beri cahaya..

 

Matahari..
biar hari silih berganti..
tidak jemu beri cahaya..

Hati..
sekali diberi sakti..
tidak jemu meluah cinta..

~Fadeer Pauzi..
Husein,Kaherah

11 February 2010

Konsep al-Tawfiq bayn al-Din wa al-Falsafah Ibn Rushd

Menulis sesuatu secara kasar dan tidak diperhalusi lagi bukanlah satu kerja yang boleh dikatakan kerja ilmiah tahap rendah sekalipun. Tetapi pepatah melayu mengatakan; tiada rotan, akar pun berguna lah. Justeru tulisan ini lebih berhasrat kepada membuka persoalan dan anggaplah ia sebagai satu lontaran awal.

Perbicaraan kali ini adalah mengenai konsep al-tawfiq bayn al-din wa al-falsafah (konsep penyelarasan antara agama dan falsafah). Ia adalah keyword penting yang kita perlu fahami sebetul-betulnya untuk kita mengetahui letak duduknya ahli falsafah muslim dahulu mahupun kini. Tokoh falsafah muslim yang akan disentuh secara langsung di sini ialah Ibn Rushd.

Asas epistemologi yang akan mendasari perbincangan ini adalah yang berasaskan sumber-sumber di bawah ini :

1. Dr. Syed Ramadan al-Buti dalam karya agungnya itu ; Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyah (Wujud al-Khaliq wa Wazifah al-Makhluq). Fragmen penting daripada kitab ini boleh dilihat dalam entri yang lalu di sini.

2. Islam dan Akal oleh Syeikhul Azhar Dr Abdul Halim Mahmud.

3. Usul 20 Imam Hassan al-Banna pada usul yang ke-19.

4. Ancaman Bahaya Sekularisme oleh al-Fadhil Ustaz Zulkifli Ismail terutamanya pada bab Hakikat Kelemahan Akal.

5. al-Marja’iyyah al-‘Ulya fi al-Islam li al-Quran wa Sunnah oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi.


Apa itu al-Tawfiq Bayn al-Din wa al-Falsafah?


Al-tawfiq bayn al-din wa al-falsafah secara mudahnya ialah penyelarasan, penyatuan dan pengharmonian di antara agama dan falsafah. Ia telah menjadi gagasan pemikiran kepada ahli-ahli falsafah agama semenjak dahulu sehingga kini. Hal ini berkait rapat dengan proses interaksi budaya dan ilmu pengetahuan yang terjadi di antara tamadun Islam dengan tamadun-tamadun yang lain.


Ustaz Zulkifli Ismail menyentuh topik ini sebagai:


Penyelarasan antara agama dan falsafah atau naqal dan akal telah menjadi gagasan pemikiran kepada ahli-ahli falsafah agama semenjak dahulu sehinggalah ke zaman ini. Ahli-ahli falsafah itu bertolak dari kelemahan iman mereka terhadap kesempurnaan dan ketepatan nas-nas agama telah berusaha sedaya upaya menundukkan nas-nas agama kepada setiap penemuan-penemuan pemikiran falsafah sebagai jalan untuk mendamaikan agama dengan kesimpulan bersifat kufur yang dicapai oleh akal fikiran manusia. Melalui jalan ini ajaran falsafah telah meresap masuk ke dalam ajaran agama lalu mencorakkan ajaran agama dengan corakan falsafah.


Resapan ajaran-ajaran falsafah dan pemikiran manusia berhubung ketuhanan, kemanusiaan, kemasyarakatan dan alam fizikal ke dalam ajaran agama telah menghilangkan ketulenan ajaran agama, mewujudkan percanggahan di dalam ajaran ajaran agama, merosakkan kesempurnaannya dan seterusnya melemahkan pengaruhnya di dalam merubah dan memimpin hati manusia di dunia ini.


Kenapa Ibn Rushd?

Ibn Rushd, seorang ahli falsafah muslim merupakan tokoh klasik yang amat berpengaruh dalam gagasan ini. Usaha sintesis yang dibuat oleh beliau dalam mengharmonikan falsafah dan agama selepas falsafah disisihkan daripada umat khususnya selepas daripada kritikan al-Ghazali mewujudkan polemik hebat dalam tradisi keilmuan Islam yang masih dikaji sehingga kini.

Terdapat tiga kitab utama beliau yang membincangkan persoalan ini secara khususnya iaitu Fasl al-Maqal fi ma bayn al-Hikmah wa al-Sharicah min al-Ittisal, al-Kashf can Manahij al-Adillah dan Tahafut al- Tahafut.

Dalam konteks al-Tawfiq Ibn Rushd, beliau telah menetapkan keperluan takwil apabila berlakunya pertentangan antara rumusan daripada burhani (binaan hujah secara demonstratif seperti yang digunakan oleh ahli falsafah) dengan lafaz zahir syarak. Menurut beliau, sekiranya sesebuah pemerhatian burhani menghasilkan sebarang bentuk pengetahuan tentang sesuatu kewujudan, maka terdapat hanya dua kemungkinan yang akan timbul.

i. Sekiranya rumusan burhani tersebut merupakan sesuatu yang tidak disebutkan di dalam syarak, maka tidak ada pertentangan yang akan timbul

ii. Sekiranya syarak telah memperkatakannya, maka lafaz zahirnya sama ada bersesuai atau bertentangan dengan rumusan daripada burhani itu.

a) Sekiranya makna zahir ini bersesuaian dengan rumusan daripada burhani maka tiada masalah yang timbul

b) Sebaliknya, jika ia bertentangan, maka harus dicari takwil yang mungkin baginya (bagi lafaz zahir syarak itu)

Walau bagaimanapun, Ibn Rushd berpendapat bahawa hanya ahli falsafah yang menggunakan metode burhani dapat memberikan pentakwilan yang tepat. Beliau menolak pendapat para mutakalimun (baik Muctazilah mahupun Ashcariyyah), kelompok harfiah (Hashwiyah), pendukung-pendukung batiniyyah (iaitu Ismaciliyyah) dalam merumuskan ‘pentafsiran (pentakwilan) yang dapat dipercayai’ yang diperlukan oleh iman yang sejati. Menurutnya, sebahagian besar hujah atau interpretasi mereka adalah ‘inovasi-inovasi’ yang tidak mempunyai asas dalam sunnah. Dalam konteks ini, Ibn Rushd dilihat telah menobatkan ahli falsafah sebagai golongan yang paling memahami agama mengatasi golongan lain termasuk ulama kalam.

Sila lihat perkara ii (b).

Cuba bandingkan pula dengan kaedah yang dikemukakan oleh Imam Hassan al-Banna dalam Usul yang ke-19 dalam Arkan al-Baycah yang pertama iaitu al-Fahm. Kaedah itu berbunyi:

"Adakalanya penelitian syarak tidak meliputi penelitian akal dan demikian jualah sebaliknya.

1. Namun, kedua-duanya tidak akan berselisih pada perkara yang qatci (pasti). Hakikat ilmiah [dalam apa-apa bidang ilmu perolehan sama ada dalam sains mahupun ilmu-ilmu humaniora] yang sahih tidak akan bercanggah dengan kaedah syarak yang thabit. [contoh dulu orang kata al-Quran tidak benar dalam bab matahari beredar. Sebab sains pada masa itu menemui kesimpulan bahawa bumi yang beredar mengililingi matahari. Kepercayaan lama bahawa matahari yang turun naik –mengelilingi bumi- sebab secara kasar begitulah yang kita dapat lihat. Tetapi setelah berlalunya masa, barulah saintis menemui kesimpulan bahawa matahari juga beredar pada orbitnya yang tersendiri. Dan bila semak semula ayat al-Quran tersebut, maka sahlah petunjuk nas dalam bab ini.]

2. Dan setiap perkara zanni dari keduanya ditakwilkan agar sejajar dengan perkara qatci

1. (maknanya kalau kaedah syarak zanni, iaitu iaitu dalam perkara yang zanniyyatul dilalah sedangkan kesimpulan dalam bidang ilmu tadi itu berasaskan epistemology dan metodologi yang menghasilkan kebenaran –maka kita peganglah kesimpulan ilmiah tersebut.

2. Dan begitu juga sebaliknya sekiranya penelitian ilmiah bersifat zanni kerana metodenya yang menghasilkan ifadah yang zanni seperti dalam sosiologi kini, sedangkan dilalah di dalam nas bersifat qat’i –maka wajiblah kita berpegang kepada al-Quran. Contoh mudah kat sini ialah penggunaan kondom dan jarum dalam nak mengatasi HIV).

3. Sekiranya keduanya adalah perkara zanni maka pandangan syariahlah yang lebih utama untuk diikuti sehinggalah pandangan akal itu thabit (kebenarannya) atau ia gugur dengan sendirinya."[apa-apa pandangan dan kesimpulan ilmiah yang masih belum mencapai ‘kebenaran hakiki’ mengikut metodologi yang memberi ifadah yang yakin yang serasi dengan tabiat subjek yang dikajinya perlulah di tawaquf dahulu dan tidak boleh dipegang. Dan pendapat syarak walaupun hanya bersifat zanni –tidak secara jelas menyatakannya- perlu dipegang. Contoh mudah tentang ini adalah pada perbahasan seputar evolution theory, creation theory dan id]

Kita nak mengucup tangan Imam Hassan al-Banna ke, atau tangan Ibn Rushd dalam bab ini? :)

Berkenaan perkara ini, Dr Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya al-Marja’iyyah al-‘Ulya fi al-Islam li al-Quran wa Sunnah menerangkan mengenai golongan ahli falsafah ini :

Para ahli falsafah al-Mashaiyyun (peripatetic) antara tumpuan mereka yang terbesar ialah menyelaraskan di antara ajaran falsafah yang mereka kagumi dan agama yang mereka warisi. Akan tetapi mereka menjadikan falsafah sebagai yang usul dan agama pula sebagai furuk. Dan mereka menganggap Aristotle itulah yang mereka membuat keputusan dengannya dan membuat sandaran kepadanya. Firman Allah subahanahu wa taala dan sabda Rasul-Nya sallallahu alayhi wassalam yang mulia pula yang dianggap sebagai pengikut kepada pendapat Aristotle itu. Sekiranya keduanya selari dengan pendapat Aristotle itu, maka adalah amat baik. Tetapi sekiranya tidak, maka wajiblah ditakwilkan makna keduanya sama ada takwil itu adalah hampir ataupun jauh dari makna sebenarnya.

Sheikh Abdul Halim Mahmud pula dalam konteks ini mengatakan bahawa:

al-Tawfiq (penyesuaian atau penyatuan) merupakan satu gagasan yang meletakkan dua pihak pada satu tempat yang sama dari sudut timbang tara, kemudian terheretlah salah satunya kepada yang lain atas nama pentakwilan, tafsiran, keterangan lanjut dan lain-lain lagi tanpa mengambil kira pengertian zahir sekiranya seandainya keadaan mendesak ke arah pemakaian makna yang halus dan sulit (batin) asalkan ia mempunyai kewajaran akal meskipun kadang-kadang ia bercanggah dengan kehendak bahasa, adat kebiasaan, tradisi dan fitrah manusia yang bersih dan waras. Penyesuaian juga bermaksud anda cuba menjadikan setiap pihak bertolak ansur mengorbankan beberapa aspek tertentu daripada prinsipnya supaya kedua-dua pihak boleh bertemu pada suatu titik pertemuan. Maka setiap pihak akan meringkaskan beberapa aspek tertentu untuk menyesuaikannya atau menjadikannya selari dengan tuntutan penyesuaian itu.

Di tempat yang lain, beliau rahimahumullah mengatakan:

Secara umumnya, ayat-ayat al-Quran dan Hadith Nabi serta fakta-fakta sejarah banyak menunjukkan tentang Islam itu sebagai agama akal. Jika disoal apakah agama akal? Jawapan yang diberikan ialah, hukum-hukum aga­ma mestilah didasarkan kepada akal dan akal mestilah dijadikan penentu kepada pelbagai masalah, prinsip dan kaedah.

Jawapan seumpama ini kadang-kadang boleh membawa kepada penyelewengan yang akan berakhir dengan akal sebagai 'pemimpin' bukannya agama sebagaimana yang sepatutnya. Justeru itu berlakulah kesongsangan dan penyelewengan dari jalan yang lurus atau siratul mustaqim. Sebenarnya hubungan akal dengan agama hendaklah dilihat seperti berikut:

Agama datang sebagai pembawa hidayah kepada akal dalam beberapa masalah seperti berikut:

(a) Pada perkara-perkara di luar tabi'i iaitu persoalan­persoalan aqidah yang khusus mengenai Allah, Rasul, Hari Akhirat dan tentang ketuhanan yang ghaib (secara umum).

(b) Pada persoalan-persoalan akhlak iaitu berkaitan dengan kebaikan dan kelebihan (fadilat) yang perlu kepada seseorang untuk menjadi seorang Muslim yang salih.

(c) Pada persoalan-persoalan perundangan yang mampu memberi kedamaian kepada masyarakat.

Sesungguhnya agama datang membawa hidayah kepada akal dalam persoalan-persoalan tersebut kerana, penolakan agama akan membawa kepada kegagalan dalam memberi sebarang penyelesaian yang boleh diterima oleh semua. Maksudnya, jika dibiarkan kepada manusia dan akal untuk menyelesaikan persoalan tersebut, pasti mereka akan bertelagah kerana masing-masing menyokong pandangan yang bersimpang-siur, bercanggah dan berkrisis yang tiada penghujungnya. Oleh itu, perpaduan dan persefahaman serta ketenangan dan kedamaian tidak akan tercapai.

Justeru, percubaan Ibn Rushd (ataupun individu-individu yang menggunakan frameworknya ini dan menjelmakannya kembali di zaman ini) menyerasikan antara agama dan falsafah tidak boleh diterima dalam ketiga-tiga persoalan itu.

Inilah juga yang dikritik oleh Imam al-Ghazali di dalam Munqiz min al-Dholal ataupun di dalam Tahafut al-Falasifah ketika mengkritik al-Farabi dan Ibnu Sina. Pada zamannya, orientasi falsafah berkisar mengenai aspek metafizik. Falsafah sebagai hasil pemikiran manusia yang bersifat spekulatif belum dibezakan sains sebagai hasil pemikiran manusia yang berasaskan ujikaji dan pengamatan. Justeru, beliau secara berhati-hati memisahkan mantiq, matematik, geometri, ilmu tabii yang pada masa itu terangkum di dalam ilmu falsafah dan hanya mengkritik ahli falsafah ini dalam perkara-perkara metafizik, akhlak dan syariah. Sekiranya ada beliau mengkritik sains, ia hanyalah kritikan apabila sains (ketika itu falsafah) tidak menggunakan metodologi yang sepatutnya dalam mengkaji sesuatu subjek atau objek sehingga menyebabkan berlakunya kecelaruan epistemologi yang kronik.

Pada zaman ini juga, ulamak-ulamak tauhid terus menyambung jihad ilmu ini dalam memerincikan aspek-aspek epistemologi, ontologi, dan aksiologi dalam kita berinteraksi dengan sains sosial terutamanya dalam memahami gelagat dan tingkah laku di alam sosial mengikut perspektif yang lebih membetuli hakikat tauhid agar kita dapat menyesuaikan sesuatu kajian sosial bertepatan dengan metodologi dan epistemologi yang serasi dengan tabiatnya. Adalah menjadi kewajipan kepada umat untuk mendapatkan panduan daripada mereka tentang segala pengeliruan syubhat-syubhat pemikiran pada zaman ini.

Perspektif Ahl Al-Sunnah wa Al-Jamaaah perlu dirumuskan semula dalam bahasa falsafah moden kerana konsep al-tawfiq bayn al-din wa al-falsafah Ibn Rushd yang meraikan pandangan Aristotle itu menjadi asas yang sama dengan pelataran kemunculan sains sosial seperti yang telah diasaskan dan dikembangkan oleh Auguste Comte serta tokoh-tokoh pemikir Barat lainnya. Justeru, bidang Usuluddin kini perlu mengalihkan perbahasan tauhid daripada musuhnya di zaman silam (seperti muktazilah) yang membincangkan falsafah ketuhanan kepada musuh baru tauhid abad ini iaitu sekularisme yang mengalihkan tumpuan falsafah kepada falsafah sosial.

Walau bagaimanapun, pengalaman-pengalaman silam perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam berinteraksi dengan khazanah keinteletualan barat ini dalam mana-mana bidang pun. Hal ini demikian kerana keperluan ‘kubu intelektual’ yang berpaksi daripada akidah itu sendiri boleh dipelajari melalui pengalaman ulama-ulama silam yang telah berhadapan dengan aliran-aliran bidaah yang dipengaruhi falsafah Yunani di zaman mereka. Dengan itu, barulah ‘pelantar yang kukuh dapat dibina’ untuk ‘belayar ke dalam’ khazanah keinteletualan barat yang kelihatan agam secara zahirnya itu (namun lemah dari sudut maknawinya) dalam kita membezakan pendirian dan pendekatan Islam daripadanya.


Selain itu, isu ini juga perlu dilanjutkan lagi dalam konteks perbahasan di dunia Islam iaitu perbincangan mengenai kesepaduan ilmu pengetahuan. Dalam penilaian semula pencapahan keceramukan pemikiran dalam kepelbagaian sekolah pemikiran yang wujud, kita perlu bertolak daripada premis ‘kegagalan dalam memahami serangan falsafah pusingan kedua’. Pengalaman Ahl Al-Sunnah wa Al-Jamacah menangkis serangan falsafah ketuhanan di zaman silam perlu dimanfaatkan dalam usaha menapis khazanah keintelektualan Barat yang berasaskan falsafah sosial. Hal ini kerana Ahl Al-Sunnah wa Al-Jamacah telah merumuskan prinsip-prinsip pemikiran dalam tiga aspek iaitu epistemologi, ontologi (world-view) dan aksiologi (sistem nilai). Justeru, sekiranya Ahl Al-Sunnah wa Al-Jamacah tidak dirujuk dalam ketiga-tiga aspek tersebut, dikhuatiri sebarang idea mengenai gagasan ini akan ‘terperangkap’ dengan idea ahli falsafah ataupun muktazilah yang bersesuaian dengan sekularisme.

Alhamdulillah..

Kita beruntung kerana masih lagi dapat mengucup tangan ulamak-ulamak rabbani yang dapat memberikan pemahaman yang sebaiknya tentang hal ini. Umat sangat-sangat perlu bergantung kepada warasah al-anbia ini dalam menangkis serangan-serangan pemikiran sekaligus bertindak merumuskan konsep-konsep pemikiran Islam melalui epistemologi dan metodologinya yang tersendiri lagi muktabar.

Konsep Ibn Rushd tersebut tidaklah se‘simple’ ini. Di sana ada aspek-aspek lain yang berkaitan seperti pemaknaan nas menurut tahap kemampuan akal manusia, adanya makna lahiriah dan batiniah dalam syarak, pentahapan potensi manusia dalam memahami lafaz-lafaz syarak, prinsip-prinsip keagamaan yang disepakati dan diperselisihkan, dan metodologi al-tawfiq bayn al-din wa al-falsafah Ibn Rushd ini yang berasaskan takwil serta implikasi mengabaikan penggunaannya. Terdapat banyak lagi dimensi menarik yang boleh diteroka dalam pengkajian mengenai konsep al-tawfiq bayn al-din wa al-falsafah Ibn Rushd ini. Tujuan artikel ini hanyalah satu lontaran awal supaya konsep ini diteliti dan diawasi dengan baiknya.■

Ibn Rushd: Zahir teks untuk masyarakat

http://www.malaysiakini.com/columns/122960

Dalam tulisan sebelum ini, saya menjelaskan latar belakang dan kehadiran karya agung Ibn Rushd, Al-Kashfu 'an Manahij al-Adillah fi 'Aqaid al-Millah sebagai mengkritik mazhab teologi al-Asya'irah dan al-Ghazali yang rancu tentang Allah, sifat-sifat dan perbuatan-Nya.

Tulisan kali ini bertujuan melihat sisi kritikan tersebut mengikut setiap bab yang terkandung dalam karya yang saya terjemahkan sebagai "Penyingkapan Metod Demonstratif terhadap Akidah Mazhab Kalam dalam Islam".

Karya ini telah dilupakan oleh umat Islam dalam tradisi pengajian falsafah Islam.

Secara khususnya, buku ini mempunyai tiga bab utama, yang kemudiannya dipecahkan kepada beberapa fasal tertentu.

Bab pertama buku ini, failasuf Cordova itu cuba menganalisis dan mengkritik pandangan serta pemikiran beberapa kumpulan yang hadir di zamannya iaitu Al-Hasyawiyah, al-Asya'irah, Muktazilah, serta Batiniyyah (sufi).

Pada asasnya, bab pertama dalam buku ini membicarakan tentang bagaimana pembuktian kewujudan Allah dengan mengetengahkan doktrin mazhab tersebut, seterusnya membuat kritikan dan meluruskan pandangan mereka.

Manakala bab yang kedua pula, Ibn Rushd – atau lebih dikenali Averroes – membahaskan tentang tentang sifat-sifat Allah termasuk pembahagian serta dan hubung kait antara sifat dengan zat-Nya.

Sementara bab ketiga pula, tokoh rasionalis Islam itu membincangkan tentang perbuatan-perbuatan Allah, antaranya mengenai persoalan kebaharuan alam, persoalan sebab akibat dan persoalan qada' dan qadar.

Sebelum saya meneruskan perbahasan dengan lebih lanjut, harus dicermati bahawa Ibn Rushd tidak pernah mengabaikan matlamatnya menulis, meringkas, memberi komentar atau mentafsir setiap buku yang ditulisnya.

Maksudnya, sebelum beliau membahaskan secara terperinci mengenai mazhab tersebut, beliau terlebih dahulu menjelaskan tujuan atau motif penulisan kitab ini (dan juga kitab-kitabnya yang lain).

Tidak kira sama ada dalam bidang falsafah, fiqh, metafizik, perubatan, bahasa Arab atau logik (mantiq), yang ditulis dalam bentuk talkhis, mukhtasar, jawami' atau syarah kabir, beliau menerangkan hadaf itu pada permulaan kitab tersebut.

Di situlah terletaknya kepentingan atau isi pokok perbahasan yang ingin dibahasnya.

Penjelasan empat perenggan pada permulaan kitab ini diteliti dan cermati, saya dapati beliau meluncur satu teori umum yang menjadi tulang belakang dan bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh empat kumpulan yang saya sebutkan tadi.

Teori itu ialah: "al-zahir min al-'aqaid allati qasada al-syar'u hamala al-jumhur 'alaiha wa nataharra fi zalika kullihi maqsid al-syaari', Salllahu 'Alaihi Wasalam bi hasabi al-juhd wa al-istito'ah."

Yang bermaksud "meneliti aspek zahir teks mengenai prinsip akidah yang dimaksudkan oleh syara' untuk diketengahkan dalam masyarakat umum dan kami meneliti semuanya mengikut tujuan pembuat syariat, Salllahu 'Alaihi Wasalam berdasarkan kesungguhan dan kemampuan".

"Oleh kerana masyarakat umum berasa bimbang dengan pengertian akidah ini dalam syariat sehingga lahir kumpulan yang sesat dan pelbagai puak.

"Setiap kumpulan tersebut mengakui bahawa mereka berada di atas syariat pertama (syariat di zaman Nabi SAW dan sahabat) dan mendakwa kumpulan yang tidak bersetuju (dengan cara mereka) sebagai kumpulan pembuat bid'ah atau kafir, (maka) harus akan darah dan harta mereka," katanya (perenggan tiga).

Menurut Ibn Rushd, tindakan ini disebabkan terpesongnya mereka daripada maksud Rasulullah SAW sebagai pembuat syariat dan kesesatan mereka dalam memahami tujuan syariat (maqsid al-syariah).

Mereka berpaling daripada lafaz zahir syara' kepada pelbagai takwilan yang didakwa daripada syariat yang pertama untuk masyarakat umum.

"Apabila diteliti kesemuanya (hujah) dan diperhati tujuan-tujuan syariah jelaslah bahawa kesemuanya itu adalah 'pandangan yang baharu' dan 'takwilan yang bid'ah," kata Ibn Rushd (perenggan 4).

Seorang pemikir Islam kontemporari Mohamad Abid Al-Jabiri dalam pengantar kitab ini berkata yang dimaksudkan dengan syara' di sini pada pandangan failasuf Cordova itu: melakukan “"enyiasatan dan pembuktian secara 'demonstratif rasional' daripada ayat-ayat al-Quran dan terhenti pada zahir teksnya serta tidak berlebihan dalam membuat pentakwilan".

09 February 2010

Kerana sesuap cinta

 

Aku nelayan miskin
Perah keringat budi
Bersampankan sakti
Kerana sesuap cinta

Pernah ombak mengganas
Hempas tanpa belas
Hampir -hampir aku lemas
Hanyut ke lautan luas

Mujur sang penyu berkata-kata
Usahlah kamu putus asa
Hulurkan tangan
Mari berenang sampai tepian


~Husein,Kaherah.

08 February 2010

Critical Articles on Modernism and Secularism

Deras duit mengalir keluar minggu ini. Saya amat bersetuju dengan cadangan seorang sahabat supaya memilih buku-buku semasa berkaitan bidang-bidang ilmu yang jarang didapati dan bernilai untuk dimiliki tanpa perlu bernafsu besar untuk menambah koleksi karangan-karangan turath. Kitab-kitab sunan sittah dalam bidang hadis sebagai contohnya, boleh dimiliki dalam bentuk fail pdf tanpa perlu membelanjakan sejumlah besar wang yang boleh mencecah ribuan harganya.

Antara buku yang menarik adalah maqolaat naqdiah fi elhadathah wa el'ilmaniah(Critical Articles on Modernism and Secularism) karangan Said Abdullatif Fuda. Secara ringkasnya buku ini membahaskan method sekularisme yang berselindung di sebalik seruan kemodenan di kalangan para pendokong pelbagai aliran pemikiran semasa.

Judul buku Qobasaat 'ilmiah minal Quran was Sunnah(Petunjuk Saintifik dari Quran dan Sunnah) karangan Dr Delawar Mohd Tsobir juga agak berbaloi untuk dibaca semua.

Cuti pada kali ini, cuba tumpukan pada projek terjemahan buku yang diusahakan dengan kerjasama teman-teman serumah.

07 January 2010

Mekar Tersenyum


Petiklah bunga sekuntum
yang mekar tersenyum

sebelum kelopak layu
satu persatu

Beramal jangan ditunggu
sementara datang
hari bertemu..