30 September 2008
Manhaj Al-Azhar Terjaga -Syeikh Usamah
Penerimaan masyarakat dunia kepada Al-Azhar dapat dilihat sejak tertubuhnya Al-Azhar itu lebih 1,000 tahun yang lalu, demikian ditegaskan oleh Syeikh Dr.Usamah Sayyid Al-Azhari, seorang ulamak Al-Azhar yang terkenal di Mesir ketika menyampaikan ceramahnya 28 September lalu di hadapan ratusan para mahasiswa dan mahasiswi di Dataran Hayyul 'Asyir pada program Wada' Ramadhan anjuran Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasilan Penyelidikan PMRAM (MANHAL). Ucapan beliau itu yang memakan masa lebih dua jam itu mengupas tajuk Manhaj Al-Azhar Dalam Aqidah Dan Syariah telah berjaya memukau para hadirin yang datang membanjiri dataran tersebut.(Sumber:http://www.pmram.org/)
28 September 2008
Suluhan Buat Perjuangan
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah pada ayat 217 yang bermaksud:
Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barang siapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
Ayat ini menjelaskan hakikat pertembungan golongan kuffar dan golongan beriman yang seringkali berlaku dan berterusan. Golongan kuffar tidak akan sesekali putus asa memesongkan golongan beriman sehinggalah rosaknya keimanan mereka. Realiti pada masa kini, kita dapat lihat pelbagai agenda musuh Islam yang dilancarkan dalam rangka usaha memesong jauhkan umat Islam dari ajaran Islam yang tulen dan mengubah corak pemikiran,gaya hidup dan tingkah laku umat Islam yang menjadikan hakikat kebendaan sebagai matlamat terpenting. Racun jahiliah yang disuntik dalam masyarakat Islam telah melahirkan dua jenis muslim sahaja di dunia ini. Sama ada Muslim yang berakal kafir atau Muslim yang berakhlak kafir.
Hizbullah: Syarat Kemenangan
Kemudian Allah berfirman dalam surah Maidah, ayat 54-56 yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan salat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barang siapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.
Kita dapat fahami daripada ayat ini bahawasanya ketika mana berlakunya gejala riddah(meninggalkan ajaran Islam biarpun juzuk darinya), maka dengan segera Allah SWT akan mendatangkan satu golongan dengan sifat-sifatnya yang tertentu yang dijanjikan kemenangan oleh Allah SWT dalam memerangi gejala riddah tersebut. Kemenangan ini bukanlah berpunca daripada faktor kebendaan tetapi adalah pertolongan Allah terhadap hamba-hambanya dalam memerangi musuh-musuh mereka biarpun lemah dari segi kekuatan kebendaan. Yang pastinya kemenangan ini diberikan kepada golongan pejuang-pejuang Islam yang berusaha sedaya upaya mengumpulkan syarat-syarat serta sifat-sifat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Matlamat Hizbullah
Antara sifat yang disebut oleh Allah SWT terakam dalam surah Al-Hajj,ayat 40-41 yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) -Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
(yaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.
Jelaslah pada kita bahawa apabila satu golongan telah cukup lengkap dengan sifat-sifat yang disebut dalam surah Al-Maidah dan kemudiannya bermatlamatkan mendirikan solat(menegakkan ajaran Islam), mengagihkan zakat(menjaga kebajikan umat), dan menegakkan amar makruf dan nahi munkar jikalau memiliki kekuasaan di muka bumi, maka layaklah baginya mendapat kemenangan mutlak daripada Allah.
Justeru menjadi satu kewajiban dalam menghapuskan gejala riddah ini wujudnya satu golongan atau hizbullah kerana Allah menyebut dengan perkataan “kaum”, bukan dengan kalimah “fardu”.Seterusnya tiadalah terbinanya sesuatu jamaah tanpa organisasi dan kepimpinan. Begitu juga tiadalah terbentuk kedua-duanya tanpa manhaj tarbiah dan thaqofah.
Kesimpulan
Kesimpulannya, penyelesaian terhadap masalah umat pada hari ini adalah dengan lahirnya satu golongan yang layak disebut sebagai “Hizbullah” yang memiliki sifat-sifat tertentu sebagaimana yang dikehendaki Allah. Bidayah penyelesaian terhadap segala pemasalahan umat pada hari ini adalah dengan lahirnya hizbullah yang berdiri dengan nizom rabbani dan berdasarkan manhaj thaqofi dan tarbawi yang sejahtera. Kemudian barulah perjuangan bagi merealisasikan matlamat yang diusahakan akan menghala ke arah kemenangan dan pastinya bakal mengulang kembali sejarah perjuangan para Nabi dan Rasul seluruhnya.
Jom Ikut Program PMRAM!!
Dalam program yang sama, satu forum yang bertemakan “Hala Tuju Mahasiswa Islam: Membentuk Kesatuan Fikrah” telah diadakan. Forum tersebut yang membariskan penalis daripada peserta-peserta yang dipilih secara rambang turut membincangkan tanggung jawab dan cabaran mahasiswa pada masa kini. Disebabkan hala tuju mahasiswa dalam perbincangan tersebut tidak sedikit pun menyentuh tentang cita-cita perjuangan Islam justeru saya bangkit bersuara melaungkan hala tuju mahasiswa yang seiring dengan tuntutan menegakkan Islam yang syumul dalam sesi soal jawab di penghujung forum. Kelantangan kata-kata saya tersebut menyebabkan sesi soal jawab ditutup dengan alasan kesuntukan masa. Beberapa persoalan yang perlu kita sama-sama fikirkan, sejauh manakah kesedaran mahasiswa khususnya agamawan terhadap tanggung jawab dan tuntutan mendaulatkan kembali Islam dalam segenap aspek kehidupan masyarakat? Cukup bersediakah mahasiswa mencungkil duri-duri sekularisme yang menusuk masyarakat keseluruhannya?
Menilai tempoh kebelakangan ini, penglibatan kami(geng KI) dalam program-program yang menghidangkan pengisian fikrah perjuangan dan haraki semakin kerap dan berterusan. Biarpun tajuk-tajuk perbincangan sudahpun biasa kedengaran dalam program-program yang lepas, namun kami tetap menunjukkan rasa minat dan memberikan komitmen sepenuhnya. Walaupun begitu, terdapat juga beberapa orang pelaksana program yang sengaja menyindir kami dan berulang kali menyebut nama kolej seolah-olah kami ini bersikap keegoan dan bermasalah dalam mengikuti program.
Kolej Islam Dalam Kenangan..

Sekiranya kita alihkan pandangan ke negeri perlembahan Nil, tidak kurang bilangan pelajar lepasan KISAS yang meneruskan jihad ilmu di bumi anbiyak ini dengan kebanyakannya mengambil kursus perubatan dan sebilangan kecilnya mengambil kursus-kursus pengajian Islam. Tiadanya wadah khusus yang mengikat kebersamaan mereka menyebabkan pelajar-pelajar lepasan kolej membawa arus dan hala tuju masing-masing lebih-lebih lagi faktor tempat tinggal yang berasingan dan kursus pengajian yang berbeza menjarakkan lagi perhubungan sesama mereka.
Menilai dari aspek kepimpinan,mereka masih mengungguli dengan memenuhi kerusi-kerusi kepimpinan persatuan-persatuan pelajar seperti PMRAM,PERUBATAN dan BKAN. Walau bagaimanapun, akhir-akhir ini terdapat segelintir pelajar lepasan kolej yang rata-ratanya bekas pemimpim pelajar kolej telah mengambil pendirian untuk memencilkan diri daripada memegang tugas kepimpinan dan sebaliknya menyibukkan diri dengan jadual pengajian dalam usaha melengkapkan diri dengan bidang-bidang keilmuan Islam. Mereka biasanya bertumpu di masjid A-Azhar mengikuti kelas-kelas pengajian yang secara tidak langsung mengikat kebersamaan antara mereka. Kesempatan bertemu diisi dengan bertanya khabar dan sebagainya yang mengeratkan lagi ukhuwwah yang telah sedia terjalin.
Beralih ke aspek penglibatan pelajar-pelajar lepasan kolej dalam aktiviti-aktiviti tarbiah,cukuplah saya berbaik sangka dengan kehadiran mereka ke kelas-kelas pengajian dan usrah-usrah yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan yang bertanggungjawab terhadapnya. Mudah-mudahan magnet hati masing-masing masih sensitif terhadap tarikan kebaikan dan menolak sejauh-jauhnya seruan kejahatan syaitan dan konco-konconya.
Akhir sekali,sebagai nota ingatan buat sahabat-sahabat seperjuangan dan diri ini, saya ingin memetik kalam yang sentiasa meniti di bibir guru-guru kolej yang berbunyi,”Tiadalah kejayaan luar biasa tanpa usaha yang luar biasa”. Sekalung doa buat guru-guru yang telah membimbing dan menunjuki diri ini, moga kalian diganjari Allah segunung pahala dan sentiasa dibayangi rahmat-Nya di dunia dan negeri akhirat yang kekal abadi.
Penerang Hati
Memahami kalam hikmah Nabi Junjungan Muhammad SAW yang disusun oleh Imam Nawawi dalam kitabnya menyedarkan betapa beruntungnya kita menjadi umat Baginda. Betapa tidak terhitungnya ganjaran Tuhan buat hambanya yang istiqamah mengerjakan ketaatan walaupun sekecil-kecil amalan berupa zikir dan doa. Seringkali diri ini tewas dengan rayuan jahat nafsu namun Allah Taala masih sudi membenarkan hambanya ini terus berusaha mendekati-Nya saban waktu.
Ustaz Fuad Amran dalam kuliah pengajian Al-Azkar baru-baru ini menekankan tentang kewajiban seorang muslim untuk membersihkan hati daripada karat-karat dosa lebih-lebih lagi selaku penuntut agama yang bakal memikul tanggungjawab membimbing masyarakat. Bagaimana mungkin golongan agamawan yang berpenyakit hatinya dapat mengubati penyakit sosial masyarakat? Mereka takkan mampu menjadi penyelamat sebaliknya turut sama menjadi agen perosak dan menyesatkan masyarakat demi mengejar kesenangan duniawi yang sementara. Ajaran Islam tidak pernah mengiktiraf golongan yang bertopengkan agama dalam perwatakannya,meniru-niru cara berpakaian ulamak serta ucapannya yang penuh berselitkan jarum kesesatan malah sebaliknya memberi amaran tentang betapa bahayanya tipu daya golongan yang rosak akhlaknya ini.
Saya akhiri dengan memetik kata-kata Sohibul Hikam,”Bagaimana mungkin gemerlapannya logam hati yang gambaran dunia terakam dalam cerminannya”. Mudah-mudahan mujahadah yang berterusan membawa kita mengenal Allah yang Maha Pengasih.
First Time Naik Keretapi..
Sebenarnya kami dalam perjalanan pulang menghadiri Persidangan Mahasiswa Islam Sedunia anjuran PMRAM yang bertempat di Dewan Kristal, Sally Mall, Hayyu Tsamin. Persidangan tersebut menyediakan slot-slot pembentangan kertas kerja yang turut disampaikan oleh wakil persatuan-persatuan yang didatangkankan khas dari Jordan,Yaman, United Kingdom, Morocco selain wakil dari PMRAM sendiri. Pembentang yang mewakili Jordan iaitu Saudara Dzulqarnain adalah sahabat saya sendiri sewaktu di KISAS. Penampilan beliau di pentas cukup membanggakan kami semua dan dan pada pendapat saya beliau berjaya menutup ucapannya dengan baik sekali.
Sewaktu melangkah keluar dari dewan, saya sempat mendapatkan majalah WARTA di sudut belakang dewan. Pandangan saya terpaku pada barisan editorial majalah tersebut. Tertera nama saya sebagai salah seorang daripadanya. Teringat kembali perbualan bersama Ustaz Azmeer semasa bertembung di tangga ketika waktu rehat. Beliau meminta untuk membuat sedikit liputan berita berkenaan persidangan yang diadakan. Saya kebuntuan idea untuk menulis disebabkan saya tidak hadir dalam persidangan yang berlangsung pada hari ini. Sekian sahaja untuk entri kali ini.