Pages

Ads 468x60px

13 April 2009

Tok Guru..









Kenapa Kahwin Lambat..??

Sedikit cerita santai untuk sahabat-sahabat (khususnya yang tak nikah lagi termasuk saya..hehe)

Majlis akad nikah itu baru sahaja selesai. Saya dan beberapa orang sahabat masih menikmati minuman ringan yang disediakan oleh pihak tuan rumah.

Tiba-tiba seorang lelaki tua yang memang saya kenali menarik tangan saya dan bertanya, "Kenapa orang sekarang kahwin lambat sangat?"

Saya lantas bertanya, "Tok dulu kahwin cepat?"

"Umur 15 tahun, nenek kau dah dapat anak seorang..."

Terbayang anak perempuan saya yang menuntut di tingkatan 5 sekarang. Sukar nak membayangkan betapalah di usia itu dia sudah mempunyai anak. "Bahagia tok?"

"Tak bahagia apa... anak Tok 12 orang!"

Terhibur saya berbual dengannya, semuanya diukur dengan angka.
"Saya berkahwin pada umur 21 tahun. Waktu tu masih menuntut lagi, orang heboh saya tak sabar," adu saya tanpa dipinta. Sengaja mengundang reaksi.

"Tak sabar? Pelik, kalau zaman tok, tu kira terlajak dah tu!"
"Betulkah saya tak sabar, tok? " tanya saya semacam mengusik.

"Eh, taklah. Kalau nak buat baik, eloklah cepat. Selamat dari maksiat. Kalau betul tak sabar, tok ni lagilah tak sabar...umur 17 tahun dah kahwin, hehe..."

"Setuju tak tok kalau dikatakan soal kahwin ni bukan soal cepat lambat, tapi soal dah bersedia atau tidak?"

"Setuju. Tapi kena hurailah maksud persediaan tu..." tajam Tuk membalas. "Kalau ikut pandangan Tok, apa agak-agaknya persediaan tu?"

"Soal ni tak boleh agak-agak...Mesti tepat."
Terkedu saya dibuatnya. Tok ni bukan sebarang orang.

"Maksud bersedia bukan sahaja dari segi umur...Asal akil baligh dah boleh kahwin. Bukan sahaja diukur oleh badan yang sihat, pendapatan yang cukup, tapi yang penting kematangan diri. Ertinya, seseorang yang nak kahwin mesti dah mula dapat berfikir dengan baik, dah boleh sedikit sebanyak kawal perasaan, dan jiwa tu sikit-sikit dah agak tenang."

Saya menung panjang. Tertikam di sudut hati petanyaan, sudahkah saya matang sewaktu mula berkahwin dahulu?

"Jangan menung...Tok cuma kata, dah sedikit sebanyak matang. Tak payah tunggu matang betul...nanti tak kahwin pula!" usik tok seperti dapat membaca fikiran saya. Walau tanpa ijazah, tok sebenarnya sedang menjelaskan asas kebahagiaan rumah tangga yang kadang kala tidak dapat ditimba di mana-mana menara gading.

"Macam mana nak matang?" tanya saya perlahan. Malu rasanya untuk diajukan soalan sedemikian di usia 40-an ini. Terasa terlambat!

"Tentulah dengan ilmu. Dulu tok dan kawan-kawan...umur sebelas tahun dah khatam Quran. Dah selesai belajar ilmu fardu ain. Rukun, sah, batal dan lain-lain ilmu asas dah ok. Bila sudah baligh buka kitab Muhimmah, baik lelaki, baik perempuan. Dah diterangkan tanggung jawab suami, isteri dan asas-asas kerukunan rumah tangga."

"Itu sahaja? Ilmu lain?" soal saya pendek.

"Eh, perlu. Mesti ada ilmu untuk cari rezeki. Yang otak baik, jadilah guru, pegawai kerajaan...ikut keadaan zaman tulah. Tok ni tak nasib baik...kerja kampung sahaja, guna tulang empat kerat, buka tanah. Itulah dusun yang tokk kutip hasilnya sampai sekarang ni..."

"Tapi sekarang tok dah senang. Dengarnya dah dua kali naik haji."
"Tak senang. Tapi mudah-mudahan...tenang. Tulah doa tok, biar hidup kita tenang."

"Agaknya sebab kurang matang nilah orang sekarang kahwin lambat?" cuit saya, kembali ke tajuk asal.

"Ni agak tok lah. Budak sekarang tak macam dulu. Mereka ni macam lambat matang. Kalau dulu umur 13 dah boleh pikul tugas. Dah berdikari, dah boleh harap jaga emak bapak. Setakat jadi imam dan baca berzanji tu lancar tapi sekarang lain, umur dah 23 tahun pun masih bergantung kepada emak bapak. Nak jadi imam? Jauh sekali."

Terbayang kekesalan di wajahnya. Dia menyambung, "Sekali tu tok tengok betul-betul dengan mata kepala ni macam mana seorang bakal pengantin tersekat-sekat mengucap kalimah syahadah depan tuk kadi. Bila tanya rukun sembahyang, geleng kepala. Yang dihafalnya rukun nikah saja..."

"Kalau macam tu macam mana?"

"Baik tak usah kahwin. Macam mana dia nak pimpin isteri dan anak-anaknya nanti? Tu baru ilmu yang paling asas, belum lagi ilmu...apa orang kata...... parenting skill."

"Tok pun tahu parenting skill?"

"Sekarang ni macam-macam sumber ilmu ada. Di radio, tv, ceramah, buku-buku...ah, macam-macam."

"Tapi tok, kalau tak kahwin pun susah juga...Nanti terjebak dengan maksiat," kilas saya.

"Tulah, ajaran Islam ni macam mata rantai. Lepas satu disambung satu. Bermula dengan yang paling utama, diikuti yang kedua, ketiga dan seterusnya... Ilmu tauhid, fekah dan akhlak perlu diasak di awal usia. Diiring ilmu akademik. Jadi, bila dah nak kahwin nanti, ilmu tu semua dah ada. Persediaan agama ada, persediaan material ada."

"Macam mana kalau ada yang lambat-lambatkan kahwin kerana katanya belum bersedia, dari segi material dan agama?"

"Apapun biarlah berpada-pada. Kalau nak diikutkan ilmu agama... sampai mati pun tak akan habis dituntut. Cukuplah sekadar keperluan dulu dan tambah lagi selepas kahwin.

Begitu juga soal material, soal kerja, profesion... Ni pun tak akan habis-habis. Ukurlah ikut keperluan dan kemampuan diri. Jangan sampai terlanjut usia sudahlah. Jangan nanti ilmu ada, matang ada, duit ada, calon pulak tak ada..."

"Tok lihat macam mana keadaan anak muda masa kini?" terluncur soalan yang berbau akademik tanpa saya sedari.

"Akibat tak ikut tertib dalam menghayati ajaran Islam, keadaan jadi agak lintang-pukang sekarang. Yang berkat jadi mudarat. Tak dikahwinkan, membuat maksiat. Bila dikahwinkan, tak bertanggungjawab."

"Antara dua keadaan ni, yang mana patut kita pilih?"

"Perlukah kita buat pilihan? Pada tok, pilihlah keadaan yang tidak memaksa kita membuat pilihan!"

Saya terdiam. Kagum. Kata-kata tersirat itu boleh mengundang seribu wacana para sarjana..
(http://khyrulhycal313.blogspot.com/)

10 April 2009

Erti Perjuangan

"Para Da’ei Muslim tidak akan mencapai kejayaan selama mereka belum bersifat “Rabbaniyyin” Sesungguhnya banyak persoalan penyelewengan, fitnah yang berlaku di dalam kehidupan dan perkembangan dakwah di sana sini. Hal ini adalah pertamanya kerana kecuaian para Da’ei itu sendiri menunaikan hak dan tanggungjawab terhadap diri sendiri. Kesibukan mereka di dalam kerja-kerja penyampaian dakwah telah mengurangkan ‘commitment’ mereka sendiri dan penyertaan mereka dengan kandungan dakwah itu sendiri. Selama belum tercapai interaksi antara Du’at dan Hidayah yang dikembangkan oleh mereka selagi itulah mereka tidak akan dapat menjadi penunjuk dan pembimbing orang lain.

Orang yang tidak memiliki sesuatu pasti tidak akan dapat memberikan apa-apa. OIeh sebab itu, hendaklah para Du’at memberi perhatian yang besar kepada proses penggarapan; lebih dari usaha penyampaian. Mereka hendaklah meningkatkan usaha-usaha penjernihan diri sendiri sebagai usaha untuk meningkatkan orang lain. Orang yang mendidik dirinya lebih wajar mendapat penghormatan dari orang yang mendidik manusia lain.

Wahai saudara, dirikanlah negara Al Qur’an di dalam hati sanubari saudara, niscaya Ia
akan terbina pula di tanahair saudara.”


(Fathi Yakan).


"Ana x mau anak-anak murid ana setakat menjadi motivator.Target yang patut kamu letak adalah balik ke Malaysia dengan title Ulamak...."

Kelantangan Ustaz Zulkifli Ismail menyebutnya membakar semangat kami. Seolah-olah lantunan kalimah-kalimah tersebut masih terngiang-ngiang di gegendang telinga.

Sekarang bukanlah nak syarahkan maksud ucapan beliau..tetapi mahu sekadar mengingatkan sahabat-sahabat seangkatan supaya terus tingkatkan daya juang.

Satu lagi ucapan daripada seorang senior seperjuangan yang turut membekasi jiwa kami,"Tidak mengapalah kalau kamu bukannya doktor,engineer, atau lawyer, tetapi memadailah melalui tangan kamu seorang lahirnya 10 orang doktor,engineer,lawyer, yang menjiwai Islam".

Kemudian beliau menyambung,"Sejam masa belajar kamu memanglah sedikit berbanding 2 jam rakan-rakan lain.Tetapi yakinlah ganjaran sejam untuk masa yang hilang kerana perjuangan ini,
akan kamu raih dengan penuh kepuasan".

Akhir sekali, pesanan ana buat adik-adik seperjuangan," Sebagaimana kamu yakin dengan pertolongan Allah mengiringi perjuanganmu(BADAR) suatu ketika dahulu,maka kenalilah perjuanganmu di sini, kemudian yakinlah kamu akan nusroh-Nya.

06 April 2009

Jom Tengok Titik Hitam


SATU KETIKA DAHULU

Pernah ketika usia saya masih mentah mengenal mehnah kehidupan, saya di dedahkan dengan modul titik hitam.Dalam satu kertas putih, saya dan rakan-rakan diminta membuat satu titik hitam di tengah-tengah kertas A4 tersebut.

” Apa yang kamu semua nampak bila kamu tengok kertas A4 ni?” Tanya fasilitator program kami ketika itu.

Antara jawapan-jawapan yang menerjah keluar dari minda kami:

” Titik hitam kat tengah-tengah kertas! ” Teriak si A.

” Kertas A4 putih dengan titik hitam! ” Kata si B.

” Warna putih di sekeliling titik hitam” Analisa si D pula.



ANTARA REALITI TITIK HITAM

Ramai yang sukakan kontroversi, mencipta isu dan mengembar gemburkan isu. Tengok saja dalam masyarakat kita kini, dari dunia artis hingga ke institusi beraja bahkan juga terpalit golongan ulama. Titik hitam yang saya maksudkan diatas adalah keburukan, kejahatan, kesilapan yang terpalit setitik di atas kertas A4 putih yang bersih disekelilingnya. Yang difokus orang ialah KEHITAMAN TITIK HITAM, bukannya keputihan kertas putih disekelilingnya! Seolah-olahnya bagi seseorang manusia itu, yang mungkin sebelum ini dinodai titik hitam dan sudah ‘membersihkan’ diri, serta menghiasi diri dengan pembersihan putih. Atau yang sememangnya putih, penuh kebaikan namun terpalit sedikit kelemahan atau kesilapan. Agaknya apakah yang suka difokus atau suka di teropong manusia? Ya, rata-ratanya suka meneropong titik hitam itu. Berapa diameternya, berapa kepekatan hitamnya, dimana kedudukannya, dan bermacam-macam lagi yang hanya berkisar tentang TITIK HITAM.

Contoh mudah dalam masyarakat, seorang bekas penagih dadah yang sebelum ini terpalit HITAM dengan dadah. Namun setelah hampir 10 tahun menjauhi najis dadah, bahkan mampu berdikari dan membersih diri hingga menjadi bilal masjid pun, masih diperkata oleh ‘mulut-mulut’ panas tentang ‘hitam’nya sejarah hidupnya dahulu.

Bahkan contoh lain seorang Imam yang menjadi cahaya dalam masyarakat, yang membuat kebajikan boleh di pandang serong andai kata ada salah seorang dari anaknya membuat kejahatan. Ke’hitam’an akhlak anaknya dipalit sama padanya dan diperkatakan, menenggelamkan keputihan akhlak dan nilai tuan imam tersebut. Cukup menyedihkan. Tetapi nampaknya gejala dan penyakit itu turut sama menular didalam gerakan dakwah yang mendokong aspirasi Islam sendiri.

Sikap sebahagian dari pendokong gerakan yang suka membesarkan isu dan menyalakan titik hitam sehingga menengelamkan potensi kertas putih cukup menyedihkan. Asal sahaja dilihat prestasi seseorang cemerlang dalam pelaksanaan dakwah, tarbiah dan siasah, suka sahaja mereka ini di ‘cantas’. Dan modal cantasannya ialah persoalan wala’, authoriti dan sebagainya, yang natijahnya mematikan potensi ahli untuk lebih cemerlang. Rugi dan merugikan. Sedangkan kerja dakwah, tarbiyyah dan siasah ini masih cukup panjang untuk diberhentikan. Bagi saya, ia berbalik kepada bagaimana kita melihat potensi kertas putih secara optimis, dan kebijakan kita dalam menyusun gerakkerja secara efektif tanpa mencantas prestasi hebat ahli bawahannya. Para pemimpin, get it as a point!

OPTIMISTIK PERSIS AL-GHAZALI

Imam Ghazali terlebih dahulu mengajar kita supaya sentiasa bersifat optimis, husnu zhon dan berlapang dada pada manusia di sekeliling kita. Dalam kitabnya Ihya’ ulumuddin , beliau menyebut:

* Ketika kita melihat seseorang yang belum dewasa,kita harus berkata dan mendetik didalam hati : “Anak ini belum pernah berbuat maksiat, sedangkan aku tak terbilang dosa yang telah kulakukan, maka jelas anak ini lebih baik dariku.”
* Ketika kita melihat orang tua, kita harus berkata dan mendetik didalam hati : “Orang ini telah beramal banyak sebelum aku berbuat apa-apa, maka sudah semestinya ia lebih baik dariku.”
* Ketika kita melihat seorang ‘alim, kita harus berkata dan mendetik didalam hati : : “Orang ini telah dianugerahi ilmu yang tiada kumiliki, ia juga berjasa telah mengajarkan ilmunya. Mengapa aku masih juga memandang ia bodoh, bukankah seharusnya aku bertanya atas yang perlu kuketahui?”
* Ketika kita melihat orang bodoh, kita harus berkata dan mendetik didalam hati : “Orang ini berbuat dosa karena kebodohannya, sedangkan aku. Aku melakukannya dengan kesedaran bahawa hal itu maksiat. Betapa besar tanggung jawabku kelak.” (Diadaptasi dari Ihya’Ulumuddin, bab takabbur).

Betapa Al-Ghazali mengajar kita supaya belajar dan berlakulah OPTIMIS pada diri sendiri dan orang lain. Sebab itulah falsafah “Daei la Qudhat’ amat perlu dan penting dihayati oleh golongan pendakwah. Kerja kita bukan menghukum semata-mata tetapi perlu mengajak. Datanglah, hampirlah pada Islam. Seharusnya begitu seolah-olah pembawaan dan ajakan kita. Bukan semata-mata menghukum, menilai secara pesimis lebih lebih lagi golongan yang tersasar dari kehidupan Islam yang hakiki dan realiti. Namun, proses tarbiyyah dan menyebarkan konsep-konsep tarhib (peringatan atas siksaan ALLAH) tetap perlu di serapkan sedikit demi sedikit kedalam jiwa para mad’u yang bervariasi di sekeliling kita.

Lantas, jiwa daie memerlukan sifat optimistik yang tinggi. Tahu dan mahu melihat potensi diri di kalangan mad’u.Sentiasa berjiwa bersih dan tenang menilai kemampuan mad’u adalah keperluan bagi pendakwah. Kesempitan pemikiran dan pelaksanaan dakwah memungkinkan mad’u makin lari dari Islam itu sendiri.

Dalam bidang organisasi Islam pula, pemimpin perlu sentiasa bijak menilai prestasi dan kemampuan ahli bawahan serta para pengikutnya. Fokuslah sesuatu itu dengan bijak dan matang, besarlah pandangan melihat kemampuan kertas putih bukan sekadar menerjah kelemahan dan kegelapan titik hitam!
(dipetik drp tulisan Asyraf Shaari,mantan naqib terawal di SMKA Falahiah)





Seorang Kekasih


Suatu kisah...
Kisah ini berlaku sewaktu aku di Madinah. Suatu hari aku berjalan melalui pasar. Sebaik saja muazzin melaungkan azan, aku terlihat seorang wanita. Wanita itu ganjil cantiknya. Dia berpaling kepadaku seolah-olah tahu bahawa aku merenungnya. Malah dia memberikanku anggukan kecil penuh bermakna sebelum wanita itu berpusing di satu sudut menuju ke lorong penjual sutera.

Bagaikan terkena panahan halilintar, aku serta-merta tertarik, hatiku terpukau dengan wanita itu. Dalam kepayahan aku berdebat dengan hatiku, memberikan satu demi satu alasan untuk meneruskan langkahku ke masjid memandangkan masanya telah tiba untuk solat, namun perdebatan ternyata gagal. Aku memutuskan untuk mengikut wanita tersebut.

Aku bergegas mengejar wanita itu, nafasku pantas dan mengah manakala wanita itu tanpa disangka mempercepatkan langkahnya. Dia telah berada jauh beberapa kedai di hadapan. Dia memaling wajahnya seketika padaku, terasa kudapat melihat cahaya senyuman nakal wanita itu dibalik purdah hitamnya. "Adakah ini khayalanku sahaja?" bisik hatiku. Akalku seolah-olah tidak berfungsi pada waktu itu.

"Siapakah wanita itu?"

Aku memantaskan langkahku dan memasuki lorong dimana wanita itu dilihatku masuk. Dan seterusnya wanita itu mengimbau aku, sentiasa dihadapan, masih tidak dapat dikejar, semakin jauh dan jauh dari mana kami mula-mula bersua. Perasaanku tambah membuak.


"Adakah wanita itu orang gila?"

Semakin jauh nampaknya wanita itu berjalan hingga ke penghujung bandar. Mentari turun dan tenggelam, dan wanita tersebut masih berada jauh di hadapanku. Sekarang, kami berada di tempat yang tidak disangka, sebuah perkuburan lama.

Kalaulah aku siuman seperti biasa, pasti aku akan merasa gementar, tapi aku terfikir, tempat yang lebih ganjil dari ini biasa dijadikan tempat pasangan kekasih memadu asmara. Dalam 60 langkah di antara kami aku melihat wanita itu memandang ke arahku, menunjuk arah, kemudian turun ke tangga dan melalui pintu bangunan sebuah kubur tua.

Kalaulah aku tidak diamuk senyuman wanita itu tadi, pasti aku berhenti sebentar dan memegun masa, tapi sekarang tiada guna berpaling arah, aku menuruni tangga tersebut dan mengekori wanita itu ke dalam bangunan kubur itu. Di dalam bilik bangunan kubur itu, kudapati wanita itu duduk di atas ranjang yang mewah, berpakaian serba hitam masih berpurdah, bersandar pada bantal yang diletak pada dinding, diterangi cahaya lilin pada dinding bilik itu. Di sebelah ranjang itu, aku terpandang sebuah lubang perigi. "Kuncikan pintu itu," kata wanita itu, dengan suara yang halus gemersik seumpama berbisik, "dan bawakan kuncinya. " Aku akur.

"Buangkan kunci tersebut ke dalam perigi itu," kata wanita itu. Aku tergamam sebentar, kalaulah ada saksi di situ, pasti saksi itu dapat melihat gamamku. "Buang-lah," ujar wanita itu sambil ketawa, "tadi kau tidak berfikir panjang untuk meninggalkan solatmu untuk mengekoriku kemari?" Tempelak wanita itu lagi. Aku diam.

"Waktu maghrib sudah hampir selesai," kata wanita itu bernada sedikit menyindir . "Apa kau risaukan? Pergilah buangkan kunci itu, kau mahu aku memuaskan nafsumu, bukan?" Aku terus membuang kunci pintu tersebut ke dalam perigi, dan memerhatikan kunci itu jatuh. Perutku terasa bersimpul tatkala tiada bunyi kedengaran ketika kunci itu jatuh ke dalam lantai perigi. Aku berasa kagum, kemudian takut.

"Tiba masanya untuk melihat aku," kata wanita tersebut, dan dia mengangkat purdahnya untuk mendedahkan wajah sebenarnya. Bukan wajah segar seorang gadis remaja, tapi kehodohan wajah yang mengerikan, jijik, hitam dan keji, tanpa satu zarah cahaya kelihatan pada alur kedut ketuaannya. " Pandang aku sungguh-sungguh," kata wanita itu lagi.

"Namaku Dunia. Aku kekasihmu. Kau habiskan masamu mengejarku , sekarang kau telah memiliki diriku . Didalam kuburmu. Mari. Mari." Kemudian wanita itu ketawa dan ketawa, sehingga dia hancur menjadi debu, dan lilin itu padam satu demi satu, dan kegelapan menyelubungi suasana.


"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” (QS. Al An’aam. 32).
(diciplak dr http://tintaqalbu.blogspot.com)

03 April 2009

Tafaqquh Fiddin

Dr Taha Dusuki al-Habishy dan Dr Hasan as-Syafii

Nama kedua-dua ulamak besar ini telah saya dengari semenjak di Malaysia lagi. Dan saya telah pasakkan niat untuk mencari dan bergurukan mereka. Alhamdulillah, Allah permudahkan..

Ini adalah Dr Taha Dusuki al-Habishy, pensyarah Jabatan Akidah dan Falsafah Universiti al-Azhar. Beliau telah menghasilkan banyak karangan yang sebahagian besarnya boleh di'download' di websitenya iaitu www.tahahibishy.com -saya telah pun menceritakan serba sedikit tentang beliau sebelum ini. Di antara karya beliau yang menjadi silibus di Universiti al-Azhar ialah kitab mengenai manahij al-bahath (metodologi penyelidikan ilmiah) dan ilmu ijtimak; di antara ibn Khaldun dan Auguste Comte.

Baru-baru ini, beliau mengajar secara talaqi di mudayyafah (yang di depan Jamia al-Azhar tu). Pengajian baru bermula tiga kali, setiap hari rabu malam khamis selepas isyak ala tul. Dan yang paling menarik sekali, kitab yang digunakan di dalam kelas tersebut ialah kitab al-Iqtisad fi al-I'itiqad karya Hujjat al-Islam al-Imam al-Ghazzaliyy. Sesiapa yang berkesempatan, marilah kita ringan-ringankan tulang datang menghadap syeikh ni.. Kitab, cuba cari kat Darussalam. Ada satu kitab terbitan Darul Basoir yang ditahqiq oleh Dr Mustafa Imran (yang juga mengajar di Mudayyafah). Nak kitab paling murah, boleh cari kat Halabi. Saya pun ada beli satu.

Kepentingan kitab ini menurut seorang murabbi yang memberi bekas yang amat mendalam dalam penghidupan saya; merupakan medan pertarungan habis-habisan di antara ulamak kalam dan falasifah dalam persoalan af'al Allah yang merupakan keyword penting dalam memahami permasalahan keintelektualan di zaman ini. Aliran yang dominan di tanah air adalah menurut skema sifat 20 Sanusi yang disusun sebagai silibus di madrasah-madrasah dan masjid-masjid. Ilmu kalam yang asalnya bersifat 'haraki' dalam menentang syubhat-syubhat pemikiran telah diperkemaskan menjadi sukatan pelajaran (setelah selesai bertarung di medan) untuk mempermudahkan pemahaman orang kebanyakan. Jadinya, hari ini kita perlu mencungkil kembali pengalaman silam yang amat berharga ini dalam kita mencari-cari penyelesaian buat ummah masa kini.

Seorang lagi ulamak besar yang telah saya dengari semenjak dari Malaysia lagi adalah syeikh ini:



Ini adalah Dr. Hasan al-Syafii. Beliau banyak membuat kajian tentang Imam Saifuddin al-Amidi, guru kepada Izzuddin bin Abdul Salam. Menurut murabbi saya itu juga, kitab Abkar al-Afkar fi Usuluddin (Kegeniusan Pemikiran dalam Usuluddin) karangan al-Amidi ini merupakan di antara kitab yang mengekalkan ke'haraki'an / fungsional ilmu kalam selepas zaman Imam al-Ghazzaliyy dalam melawan syubhat-syubhat pemikiran falasifah terutamanya dalam bab af'al Allah.

Alhamdulillah, dah 3 bulan setengah saya mengikuti kelas syeikh ini. Untuk kawan-kawan yang ingin mengikuti sama, kelas syeikh di Masjid al-Azhar setiap hari Khamis dari pukul 9.30 pagi sehinggalah zohor. Syeikh mengajar kitab Aqaid Nasafi -boleh dapatkan di Maktabah Azhariah lit Turath.

Sekian sahaja perkongsian buat kali ini. Semoga bermanfaat untuk semua.
(Diciplak dari http://abdulrauf.blogspot.com/)