Pages

Ads 468x60px

31 December 2009

Jembalang



Model yang ditayangkan khas bagi sesiapa yang nak menyimpan rambut panjang sempena musim sejuk ini. Belum cukup panjang? Suka hati saudaralah asalkan tak serupai jembalang yang berambut terjurai sampai ke kaki. Tetapi tolong ingat satu perkara sahaja,,"mung tu ustaz!!!". Ada yang tesinggung ke?Siapa makan cili dialah rasa pedas. Minta ampun tuan.

Teka Sampai Dapat!!

Pengumuman 2x ..siapakah mau mendengar(cam penah dgr lirik ni).

Berita yang panaskan badan tika sejuk nih...Sahabat ana mau kawen. ..,Siapakah?...Siapakah?...

Tekalah...uji terer anda..

Bisakah Hati Mula Berpuisi..



 Sang pemuisi agung
Rintihannya didengari Tuhan
tatkala  shamail junjungan
Dhoif akal menyingkapinya
Matanya pejam
Meneroka alam batin.


Busairi temui Rasul Ilahi
Menyambut burdah (selendang) diberkati
Menjernihkan jiwa.
Menerangi pena.


Jiwaku berterbangan menyanyi
Siulan memecah sunyi
Bisakah hati mula berpuisi?

25 December 2009

Hadis Musalsal 'Asyura


  Sahabat-sahabat yang  berkesempatan bolehlah turut hadir pada kelas pengajian di masjid Azhar pada hari Ahad depan untuk sama-sama mendengar bacaan hadis musalsal 'Asyura yang insyaAllah akan disampaikan oleh Sheikh Ahmad Al-Hajin. Berikut adalah potongan ijazah bersanad yang telah dianugerahkan kepada saya.Alhamdulillah


إن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم قال:
"صيام  يوم  عاشوراء  إني أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله " أو كما قال صلى الله عليه وسلم .
وكل واحد من رجال السند يقول سمعته يوم عاشوراء, كما قلنا فهو مسلسل بهذا اليوم المبارك كما في المسلسلات, ومعنى النسلسل في اللغة :ِِِ    إتصال الشيء بعضه ببعض وفي إصطلاح المحدثين : ما اتفق رواته في صيغة أداءه على حالة قولية أو فعلية أو قولية و فعلية معا
وفضيلثه كما قال السخاوي : الإقتداء بالنبي صلى االه عليه وآله وسلم فعلا ونحوه وللإستدلال على مزيد الضبط من الرواة .
قال : وخير المسلسلات ما كان منه دلالة على إتصال السماع وعدم التدليس كقول كل من الرواة حدثنا .
هذا وقد أجزت تلميذي العزيز الطالب : محمد فضير بن محمد فوزي
أن يروي عني هذا الحديث وأوصيه بتقوى الله وإتباع نبيه المجتبى ورسوله المصطفى وحبيبه الأعظم الأجل النور اللأتم سيدنا محمد صلى الله عليه وآله وسلم .
المجيز: العبد الفقير إلى رحمة ربه الرحيم الغفور خادم العلوم الشرعية المشرفة والسنة النبوية المطهرة أبو عبد الله أحمد بن صلاح الدين بن عبد الله الهجين الأشعري الشافعي الأزهري عفا الله عنه وعن والديه ومشايخه وأحبائه وسائر المسلمين أجمعين ( آمين )
التاريخ : 10/1/1430ه
التوقيع
.................

24 December 2009

Kewajiban Generasi Moden Memahami Islam.




Tamadun Islam  dalam rentetan sejarahnya memaparkan peristiwa besar apabila berlakunya hijrah Nabi Muhammad SAW dan umat Islam kerana ianya menjadi titik tolak kepada kegemilangan Islam dan tamadunnya sehinggalah kurun-kurun berikutnya. Generasi Islam terawal ketika itu juga berjaya membina tamadun ulung yang berdiri utuh mendepani zaman dan mampu memimpin ketamadunan kemanusia sejagat. Umat Islam pada zaman ini perlulah menyedari bahawa menyelak semula rentetan hijrah akan mendedahkan sesungguhnya keagungan tamadun tersebut berpaksi pada masyarakatnya yang berorientasikan pemahaman Islam dan keimanan yang teguh terhadap prinsip-prinsip Islam. Tertegaknya masjid sebaik sahaja ketibaan Rasulullah SAW di Madinah yang kemudiannya berperanan membentuk masyarakat Islam pada pemikiran dan akhlaknya menjadi contoh nyata yang seharusnya diambil berat oleh pandakwah-pendakwah pada masa kini. Justeru hendaklah difahami benar oleh para penyeru Islam pada zaman ini bahawa kebangkitan umat Islam daripada kelesuan mereka hanyalah akan berlaku setelah mereka  berpegang pada petunjuk Islam dan seluruh ajarannya melalui pembelajaran dan pemahaman Islam yang betul kemudian barulah tamadun Islam kembali gemilang menerajui dunia.

Umat Islam hendaklah mendalami semula  ajaran Islam dengan bersungguh-sungguh sehingga mereka memahami kembali seluruh kewajiban mereka sebagai hamba Allah SWT dan mengetahui pula tanggungjawab  sebagai seorang muslim terhadap jihad menegakkan Islam di zaman ini. Kebangkitan umat Islam hari ini tidak akan berdaya menebas pengaruh puaka ideologi dalam masyarakat dan tanah air umat Islam di zaman ini sehinggalah seruannya  benar-benar bertunjangkan  ilmu pengetahuan yang membenteng mereka dari kesesatan ,menimbulkan perasaan takut kepada  Allah, serta menggerakkan ketaatan dan menunjukkan jalan beramal yang betul. Pemahaman Islam ini pula hendaklah berdasarkan disiplin dan ilmu yang bersifat merangkumi seluruh bidang keilmuan Islam sebagaimana yang telah disusun oleh ulamak Islam yang muktabar. Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 122 bermaksud:Tidak sepatutnya bagi orang-orang mukmin itu pergi semuanya(ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa kumpulan untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menyelamatkannya.


Realiti dan Cabaran Moden.                                                                                      
1. Kesilapan Wasilah Memahami Islam
Malapetaka besar melanda umat Islam disebabkan mereka memahami Islam berdasarkan buah fikiran pendusta-pendusta pada zaman ini. Hukum-hakam Islam tidak boleh sewenang-wenangnya diambil dari sesiapa sahaja melainkan mereka yang diistilahkan fikih Islam sebagai mujtahidin disebabkan keahlian dalam bidang-bidang keilmuan Islam melayakkan mereka menggali hukum-hakam berdasarkan disiplin ilmu-ilmu yang dimiliki tersebut. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 83 bermaksud:
Dan kalaulah mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang yang ingin mengetahuinya kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka(Rasul dan Ulil Amri).

Perlulah ditegaskan bahawa memahami Islam dari tangan-tangan  orientalis, dan pendokong-pendokong teori dan ideologi Barat dengan menolak tepi ulamak Islam muktabar bahkan tanpa segan silu mempersendakan mereka adalah perbuatan bodoh yang memudaratkan Islam dan masyarakatnya. Golongan yang menyeru kepada pentafsiran semula ajaran Islam sebenarnya telah ditimpa kejahilan yang tidak bertepi selain jiwa raga mereka telah terungkai ikatannya dari tali-tali Islam. Sebarang percubaan ke arah pembaharuan semula kefahaman Islam yang diseru oleh sebahagian intelektual pada zaman ini seharusnya disedari oleh umat Islam akan betapa bahayanya gerakan tersebut terhadap Islam dan masyarakatnya. Sejarah yang menimpa ajaran Kristian dari bermacam-macam penambahan dan penyesuaian yang menghilangkan ketulenan ajarannya telah menjadikan ajaran Kristian tidak lebih sebagai hasil budaya manusia sahaja serta mengandungi dakwaan kosong semata-mata tanpa sebarang kaitan langsung dengan ajaran para Anbiyak AS. Pendokong-pendokong seruan tersebut sebenarnya telah ditipu syaitan dengan mana-mana teori, ideologi atau falsafah yang menyesatkan. Bau busuk bangkai teori-teori tersebut adalah amat kuat dan dapat dihidu pula dari jauh sekalipun mereka cuba menutupnya dengan wangi-wangian Islam. Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 30 bermaksud:Orang-orang Yahudi berkata: "Uzair itu putera Allah" dan orang Nasrani berkata "Al-Masih itu putera Allah". Demikian itulah ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allahlah mereka, bagaimana mereka sampai berpaling? 


Selain itu, umat Islam hendaklah berwaspada terhadap golongan yang pada pandangan umumnya digelar ulamak tetapi pada hakikat sebenarnya mereka teraba-teraba dalam memahami dan mengajarkan Islam disebabkan kefahaman mereka hanyalah bersandarkan  juzuk-juzuk tertentu tanpa berdasarkan disiplin keilmuan Islam yang meliputi aspek-aspek  ajarannya. Manakala sanjungan umum terhadap mereka hanyalah semata-mata umpanan perangkap yang sengaja dipasang oleh puak-puak berfahaman sekular Barat yang bertaringkan hawa nafsu untuk menyungkurkan masyarakat Islam tanpa disedari. Bahaya ini mestilah disedari umat Islam kerana golongan ini akan menambah biakkan lebih banyak kemudaratan dan perpecahan dalam masyarakat Islam. Kejatuhan empayar khilafah Uthmaniah seharusnya dijadikan iktibar sepanjang zaman kerana krisis pergolakan yang berlaku ketika itu antaranya berpunca daripada tingkah laku mereka yang rosak akhlaknya menyebarkan pertelingkahan di kalangan umat Islam.
2.Serangan Pemikiran
Umat Islam juga telah kehilangan benteng dalam menangkis rencana-rencana jahat musuh-musuh yang dengki terhadapnya sehingga melahirkan  dua golongan sahaja di dunia ini samada muslim yang berakal kafir ataupun muslim yang berakhlak kafir. Mereka adalah generasi umat Islam yang kurang ajar dan biadap terhadap Tuhan yang menciptanya dan juga tidak lagi mengenal dan menghargai Tuhannya, Nabinya dan Islamnya. Hal ini bercanggah dengan aqliah Islam yang membentuk seorang manusia yang berorientasikan hukum agama dan melahirkan cara berfikir yang tepat terhadap perjalanan alam dan kehidupannya di dunia ini. Justeru mestilah difahami bahawa kewajiban setiap muslim di zaman ini adalah bangun berjihad membersihkan diri mereka dan umat Islam seluruhnya dari segala fahaman,ajaran dan program berfikir yang bersifat sekular itu.



Sesungguhnya generasi muda-mudi Islam yang telahpun menghirup udara kesedaran dan kebangkitan Islam di zaman ini tidak seharusnya mencuaikan tanggungjawab mereka untuk menuntut ilmu-ilmu Islam secara saksama tanpa sedikitpun pengabaian pada juzuk-juzuknya. Sebagai akhirnya cukuplah sekadar kami menyebut ilmu-ilmu Islam yang dituntut  untuk mempelajarinya  sebagaimana yang telah digariskan oleh Said Hawwa Rahimahullah seperti  berikut:
1.       Ilmu Usul Thalathah
2.       Al-Quran dan Ilmu-ilmunya
3.       As-Sunnah dan Ilmu-ilmunya
4.       Ilmu Usul Fiqh
5.       Ilmu Aqaa'id
6.       Ilmu Feqah
7.       Ilmu Akhlak,Tazkiah dan Suluk
8.       Sirah dan Sejarah Islam
9.       Ilmu-ilmu Bahasa Arab
10.   Rencana-rencana Jahat ke atas Islam dan Umatnya serta Cabaran yang Dihadapi Umat
11.   Kajian-kajian Islam Semasa
12.   Fiqh Dakwah 

14 December 2009

TITIK KEKELIRUAN GAGASAN ISLAMISASI ILMU

Oleh: A.Muchlis (http://malaydentist.blogspot.com) 

Pada tahun 2002, Zulkifli Ismail, pengasas madrasah Baitul Qurra merangkap Ketua Dewan Ulama PAS Melaka menulis dalam magnum opus-nya Ancaman Bahaya Sekularisme berkenaan kepalsuan aliran keintelektualan semasa seperti aliran islamisasi ilmu dan anti hadis, sebagai peringatan kepada kaum muslimin,

“Hakikat ini perlulah difahami dengan sebaiknya supaya umat islam dapat pula menyelamatkan diri dari kepalsuan dan kesesatan gagasan islamisasi ilmu-ilmu sosial barat yang didukung oleh sebahagian intelektual di Negara-negara umat islam di zaman ini.”


Beliau menyedari kegelapan serta bahaya yang berada disebalik gagasan tersebut. Secara jelas beliau menyebutkan bahawa meletakkan umat islam berpandu kepada apa yang bersifat andaian (zhanni/doubtful) di sisi manusia dengan meninggalkan apa yang diyakini pada akidah dan syariat mereka adalah pekerjaan bodoh yang sedang melanda sebahagian para intelektual dan cerdik pandai yang ditipu syaitan di zaman ini. (Yunus: 36)


DARI RASIONALISME KE LINGUISTIK

Dalam dunia falsafah terdapat dua jalur pemikiran besar yang saling berseberangan iaitu rasionalisme dan empirisme. Dalam perkembangannya, Rasionalisme diusung oleh banyak tokoh, masing-masingnya dengan ajaran-ajaran yang khas, namun tetap dalam satu koridor yang sama. Pada abad ke-17 terdapat beberapa tokoh kenamaan seperti René Descartes, Gottfried Wilhelm von Leibniz, Christian Wolff dan Baruch Spinoza. Sedangkan pada abad ke-18 nama-nama seperti Voltaire, Diderot dan D’Alembert adalah para pengusungnya.


Seperti juga pada Rasionalisme, maka pada Empirisme pun terdapat banyak tokoh pendokong yang tidak kalah popularnya. Tokoh-tokoh dimaksud antaranya adalah David Hume, John Locke dan Bishop Berkley. Para penganut aliran empirisme tentu sahaja menentang kaum rasionalis yang begitu memberikan tempat dan peranan akal dalam proses lahirnya pengetahuan. Mereka mengajarkan bahawa pengetahuan diperoleh menerusi pengalaman.


Kemudian muncul aliran Fenomenalisme Kant yang dikemukakan oleh Immanuel Kant, seorang ahli falsafah Jerman. Dia berusaha keras mendamaikan pertentangan antara empirisme dan rasionalisme. Menurut hemat Kant, dalam proses ilmu pengetahuan unsur rasio dan indera sama-sama berperanan.


Daripada Kant, mengalir fahaman yang cuba mendamaikan antara falsafah Timur dan Barat seperti Schopenhauer. Kemudian Wittgenstein, Deisme, dan Russell mula memperkenalkan falsafah analisis malah mereka cuba memurnikan lagi ilmu pengetahuan supaya kelihatan lebih objektif. Aliran ini mengambil sikap pertengahan (wasatiah) dalam falsafah Barat.


Pada tahun 1920-an pergerakan falsafah logika positivisme (atau logika empirisme) muncul di Austria dan Jerman. Aliran ini berusaha menstabilkan antara analisis logik ilmu pengetahuan saintifik dengan fahaman positivisme Comte yang ilhad, mengulangi semula keneutralan Kant. Falsafah linguistik analisis yang muncul mendorong aliran-aliran Islam ini (seumpama Al-Attas) menyuntik kembali ontologi (worldview/welstanchaung) Islam selepas dipisahkan oleh logika positivisme kerana aliran linguistik dianggap lebih berdisiplin. Disinilah munculnya Islamisasi Bahasa. Disinilah juga letaknya antara seribu satu kedangkalan gagasan islamisasi ilmu sains sosial, iaitu suatu cubaan halus untuk menyelaraskan antara ajaran agama dan ajaran metodologikal Falsafah Barat yang rapuh (atau antara naql dan ‘aql)
 


International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC): Pusat Pemikiran Islamisasi Ilmu Mazhab Attasian di Malaysia



Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Pendiri ISTAC

Apabila dicermati lebih mendalam, mana-mana aliran yang berguru dengan Barat begitulah kesudahannya. Mereka tidak akan nampak nass syariat Allah Swt. sebagai jalan keluar. Akibat terlalu ghairah dengan kemampuan akal (‘aql/reason), mereka rela menolak petunjuk Qur’an Sunnah dan ijtihad para ulama yang mu’tabar. Para cendekiawan muslim menyebut mereka sebagai jahil murakkabun.

Mereka lebih yakin kepada falsafah dan pemikiran Barat, tapi yang telah menjalani proses desekularisasi (desecularization), dewesternisasi (dewesternization), dan integrasi holistic ilmu (holistic integration of knowledge) menurut teori dan nafsu mereka, lalu memposisikannya sebagai sumber hukum Islam yang ke-5 selepas Qur’an, Sunnah, Ijmaa’, dan Qiyas! Persoalannya, bagaimanakah umat Islam boleh berpandu pada yang bersifat spekulasi (zhanni/doubtful) dan meninggalkan apa yang diyakini pada akidah dan syariat mereka?

Dalam hal ini, tokoh mujaddid islam, As-Syaheed Imam Hassan Al-Banna telah menggariskan panduan dalam Usul Isyrin, iaitu prinsip yang ke 19,

“Terkadang pandangan syar’i dan pandangan ‘aqli tidak dapat saling memasuki wilayah lainnya. Tetapi keduanya tidak akan berbeza dalam masalah yang qath’i. Maka hakikat ilmiah yang benar dan kaedah syar’iyah yang kukuh tidak akan pernah bertentangan. Sesuatu yang bersifat zhanni perlu ditakwil agar sesuai dengan yang qath’i. Apabila keduanya bersifat zhanni maka pandangan syar’i lebih diutamakan untuk diikuti, sehingga yang ‘aqli menjadi benar-benar putus atau gugur sama sekali”



Sebagai contoh mudahnya, dalam penciptaan nabi Adam a.s. Al-quran menyatakan bahawa ia diciptakan oleh Allah Swt., tapi telah dinafikan oleh penemuan ilmiah yang bersifat spekulasi (zhanni/doubtful). Charles Darwin dalam bukunya, The Origin of Species berkata bahawa manusia berkembang daripada air. Ini adalah andaian atau zhanni semata ! Dan belum pernah dibuktikan secara ilmiah hingga ke hari ini. Oleh itu, teori evolusi hendaklah di takwil (ta’wil/interpret) agar tunduk kepada nas Al-Quran yang putus (qath’i/definitive), dan bukan sebaliknya.

The Origin Of Species: Sebuah kajian jenis al-istiqra' al-naqis (imperfect induction) atau penelitian yang tidak menyeluruh kerana memiliki variati yang terlalu banyak dan tidak dapat dicakup semuanya dalam penelitian manusia. Begitu jugalah 'resepi' dalam kajian falsafah sosial Barat.

KRITIK EPISTEMOLOGI DAN METODOLOGI

Pendiri popular aliran islamisasi ilmu sains sosial, atau lebih tepatnya Ismail Raji Al-Faruqi dan Syed Muhammad Naquib Al-Attas sepakat menolak ilmu moden sekular Barat tapi hanyalah sebatas doktrin (ta’alim/doctrine) sahaja. Namun, mereka masih mengekalkan epistemologi (nazariyatul ma’rifah/epistemology) Barat iaitu berdasarkan akal (‘aql/reason) yang terbatas, bukan petunjuk wahyu yang mutawātir (consecutive) dan bersifat pasti (qath’i/definitive).

Sebagai contoh, dalam kajian sosiologi mereka sepakat menolak pendapat yang mengatakan bahawa manusia berasal daripada kera – iaitu teori evolusi. Penolakan ini adalah semata-mata doktrin. Tetapi ketika mereka cuba menghuraikan jalan penyelesaian dalam masalah sosial, ekonomi, dan politik mereka kekal menggunakan akal (‘aql/reason) dan metodologi (qawa’id/methodology) Barat. Menjadikan falsafah sebagai prinsip (usūl/principles) dan agama sebagai cabang (furu’/branches) pula.



The International of Islamic Thought (IIIT): Pusat Pemikiran Islamisasi Ilmu Sains Sosial di Pennsylvania, US



Ismail Raji Al-Faruqi. Pengasas IIIT

Islam berpegang bahawa keupayaan akal fikiran manusia adalah terbatas. Ia tidak mampu memberi petunjuk kepada manusia dalam perkara yang diluar dari peranannya yang telah ditetapkan oleh Allah Swt. itu. “Dan manusia dijadikan bersifat lemah” (an-nisaa’: 28) Hakikat kelemahan akal manusia adalah menjadi nyata dalam dua aspek pengetahuan yang penting. Pertama, aspek pengetahuan yang berhubung dengan perkara-perkara ketuhanan, ukhrawiyyat, dan kerohanian. Kedua, aspek pengetahuan yang berhubung dengan nilai, tingkah laku, dan sistem hidup yang diperlukan oleh manusia bagi mencapai kebahagiaan di dunia.

Dalam masyarakat Islam kelemahan ahli falsafah seperti itu telah didedahkan dengan terangnya oleh Hujjatul Islām Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Tahāfut al-Falāsifa. Beliau berkata antara lain,

“Kami akan mengatakan bahawa tujuan kami hanyalah untuk menunjukkan ketidakmampuan anda untuk menjustifikasikan dakwaan pada pengetahuan realiti wujud dengan hujah konklusif. Kami hendak membuatkan anda meragukan keyakinan anda pada dakwaan-dakwaan anda sendiri. Kini ketidakmampuan anda itu telah jelas, marilah dinyatakan dalam fikiran bahawa ada beberapa orang mempercayai bahawa realiti soal-soal ketuhanan tidak dapat diungkapkan melalui penyelidikan intelektual dan bahawa sebaliknya adalah diluar kemampuan manusia untuk mengungkapkannya.”


John Locke (Inggeris)


Di Barat kesedaran mengenai hakikat kelemahan akal mula disedari khususnya oleh ahli falsafah Empiris pada abad ke-17. John Locke (1632-1704) memetik kembali ucapan Aristotle yang berbunyi,

“Di sana tidak ada sesuatu pun di dalam akal yang tidak dikesani lebih dulu daripada pancaindera”

Ada satu kelemahan yang paling menonjol dalam metodologi sains sosial iaitu tiadanya suatu ukuran pembuktian rasional yang pasti, definitif kata bahasa sekarang. Maka sebagaimana ahli falsafah Metafizik, ahli falsafah dan kajian sosial sehingga setiap aliran yang sama itu berpecah pula kepada beberapa aliran yang berlainan. Perlu difahami bahawa kajian falsafah dibidang kemanusiaan dengan tujuan menyingkap cara hidup yang terbaik baginya telah dikembangkan pada abad ke-18 sehingga ke hari ini oleh ahli falsafah materialis secara meniru kaedah pendekatan dan pembuktian dalam ilmu sains tulen.

Percubaan dilakukan dalam tiga cabang. Pertama, dalam penciptaan ilmu sosiologi melalui pendekatannya oleh Comte. Kedua, falsafah moral khususnya aliran pragmatisme. Ketiga, ilmu psikologi yang diasaskan oleh Frued. Percubaan ini sebenarnya bertujuan menjauhkan agama dari terus memberi pengarahan kepada hidup manusia dengan cara menggantikan ilmu-ilmu sosial ditempat agama!

Kegagalan usaha titik peluh ahli falsafah Barat ini telah didedahkan oleh Dr. Mahmud Othman dalam bukunya dibawah fasal bertajuk “Bahawa Agama Adalah Satu Kemestian Bagi Memandu Manusia di Dalam Tingkah Lakunya dan Dalam Menyusun Masyarakatnya”,

“Dan sekarang kita telah sampai kepada beberapa kesimpulan yang penting iaitu; bahawa ilmu sosiologi telah gagal sepenuhnya dari sudut teori dan perlaksanaan. Ia telah gagal untuk meletakkan hukum bagi tingkah laku manusia yang menepati kaedah hukum sains tabii, dan ia juga tidak berjaya untuk mengukur kenyataan yang berlaku dalam masyarakat, kerana disebabkan semua itu adalah kenyataan-kenyataan kemanusiaan yang tidak mungkin ditundukkan kepada bentuk ukuran silogisme yang terperinci. Dan semenjak zaman Comte hingga ke hari ini, ahli sosiologi tidak berdaya untuk mengatasi masalah ini. Apa yang dapat mereka simpulkan adalah bahawa kemajuan di bidang imu ini dikelilingi oleh pelbagai kerumitan. Dan mereka sekalipun sehingga ke hari ini telah gagal untuk mencapai suatu hukum sains yang terperinci, atau telah gagal menilai kenyataan-kenyataan sosial dengan penilaian dan ukuran yang tepat, masih terus meletakan harapan pada masa akan datang dengan kemajuan ilmu yang lahir pada ketika yang memungkinkan mereka untuk mengatasi kerumitan-merumitan itu tadi.”

Kelemahan-kelemahan ketara falsafah sosial Barat disebabkan oleh enam perkara berikut. Pertama, falsafah tidak mempunyai sebarang ukuran untuk membezakan antara kebenaran dan kesesatan, antara yang betul dan yang salah. Kedua, selama mana falsafah tidak mempunyai suatu ukuran (pembuktian yang boleh dipercayai) untuknya, maka selama itulah buah fikiran falsafah adalah andaian (spekulasi) semata-mata. Ketiga, selama mana tiada jalan untuk sampai kepada suatu keputusan yang diyakini dalam mana-mana persoalan falsafah maka adalah suatu perkara yang pasti bahawa perselisihan pendapat di bidang falsafah adalah berterusan. Keempat, selama mana perselisihan pendapat berterusan di bidang falsafah maka masalah yang merupakan tajuk perbincangan falsafah akan terus serupa dan sama sahaja. Kelima, perselisihan falsafah adalah meratai keputusannya sama ada yang berbentuk negatif, positif, atau keduanya sekali. Dan akan berkesudahan dengan penafian atau penetapan yang mutlak dalam semua masalah. Keenam, sebagai rumusan daripada perkara-perkara sebelumnya, falsafah pada hakikatnya tidak memiliki sebarang pendapat pun baginya (iaitu pendapat yang boleh menjadi sandaran).

KESIMPULAN DAN PENUTUP

Perlu difahami bahawa hakikat kekeliruan gagasan islamisasi ilmu atau gagasan penyelarasan serta semua kesesatan pemikiran zaman ini adalah berhubung langsung dengan sifat lemah dan terbatasnya akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah Swt. kepada manusia. Maka menurut perspektif islam yang sebenar, Islamisasi Ilmu Sains Sosial Barat tidak akan bermakna selain dari menolak segala kesimpulan sosial yang dibina atas sandaran yang bersifat andaian, dan membebaskan segala percubaan mendamaikan kesimpulan sosial yang dibina atas sandaran yang bersifat andaian itu sama ada dari aspek epistemologi maupun metodologinya. Islamisasi Ilmu dengan makna yang lain dari itu, tidak akan beerti selain dari suatu percubaan halus untuk menundukkan Islam kepada khayalan-khayalan ilmu sosial Barat yang dikagumi oleh para intelektual zaman ini. Bagaimanakah mereka hendak menegakkan kebenaran dengan berpandu kepada kesesatan?

Ada pula yang kurang sihat akalnya, mengakui bahawa ajaran dari pemikir Barat itu ada yang sesuai dengan Islam justeru harus didamaikan (atau diislamisasikan). Padahal kalau mereka berfikir sihat, kalau memang ajaran lain itu sebahagiannya sesuai dengan Islam, mengapa tidak Islam yang turun dari langit ini saja yang mereka pertahankan?



Imam Al-Ghazali: Tokoh Pemikir Besar Islam

Adalah jelas sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Al-Ghazali dalam Munqiz Min ad-Dhalal (Pembebasan Dari Kesesatan) bahawa ahli falsafah itu berbincang mengenai persoalan kemanusiaan dan nilai bukanlah diambil dari kajian falsafah dan pemikiran akal mereka tapi dari petunjuk dan ajaran agama yang ditiru dan dicedok oleh ahli falsafah tersebut, atau disebut sebagai stolen legacy. Jadi sekali lagi saya ingin bertanya, mengapa tidak ajaran Islam yang turun dari langit (khabar shādiq) ini saja yang mereka pertahankan?

Wallāhua’lam.

Bahan menarik untuk dirujuk:

1. Ancaman Bahaya Sekularisme oleh Zulkifli Ismail
2. Islam and Secularism oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas
3. Wikipedia Free Ensiklopedia
4. Tahafut al-falasifa (Kekacauan Para Filsuf) oleh Al-Ghazali
5. Islamization of Knowledge General Prinsiples and Work Plan oleh Al-Faruqi
6. Kubral al-Yaqiniyyat (Keyakinan yang Hakiki) oleh Dr. Said Ramadhan al-Buti
7. Syarah arkanul bai’ah (1) Rukun Al-Fahmu oleh Dr. Ali Abdul Halim Mahmud

Oleh: A.Muchlis (http://malaydentist.blogspot.com)

05 December 2009

Eidul Adha di Baitul Qurra'.

Jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah turut serta menjayakan haflah eidul adha baru-baru ini. Sambutan yang julung kali diadakan di rumah kami, Baitul Qurra' ini dapat mengeratkan lagi ukhuwwah yang sedia terjalin.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran rakan-rakan ex-Kolej Islam termasuk Ustaz Nazrul Abdul Nasir dan Ustaz Juzaili Juhan yang sempat menyampaikan mutiara-mutiara tazkirah buat semua yang hadir.

Memetik kata-kata Ustaz Nazrul Abdul Nasir, manhaj bagi seorang penuntut ilmu untuk memahami agama adalah berasaskan as-sama'(dengar) dan talaqqi(berguru) bersama ulamak muktabar. Menurut beliau lagi, amalan membaca kitab -kitab karangan ulamak tanpa berguru langsung seharusnya ditinggal jauh kerana banyaknya karangan-karangan ulamak tersebar luas sehingga kini hanyalah untuk memelihara atau muhafazoh ilmu sahaja. 


Akhir sekali, semoga dengan sambutan eidul adha kali ini dapat menyemaikan sifat pengorbanan dalam diri masing-masing seterusnya melonjakkan lagi momentum daya juang dalam menuntut ilmu Allah di perlembahan Nil ini. Sekian.