
Sekiranya kita alihkan pandangan ke negeri perlembahan Nil, tidak kurang bilangan pelajar lepasan KISAS yang meneruskan jihad ilmu di bumi anbiyak ini dengan kebanyakannya mengambil kursus perubatan dan sebilangan kecilnya mengambil kursus-kursus pengajian Islam. Tiadanya wadah khusus yang mengikat kebersamaan mereka menyebabkan pelajar-pelajar lepasan kolej membawa arus dan hala tuju masing-masing lebih-lebih lagi faktor tempat tinggal yang berasingan dan kursus pengajian yang berbeza menjarakkan lagi perhubungan sesama mereka.
Menilai dari aspek kepimpinan,mereka masih mengungguli dengan memenuhi kerusi-kerusi kepimpinan persatuan-persatuan pelajar seperti PMRAM,PERUBATAN dan BKAN. Walau bagaimanapun, akhir-akhir ini terdapat segelintir pelajar lepasan kolej yang rata-ratanya bekas pemimpim pelajar kolej telah mengambil pendirian untuk memencilkan diri daripada memegang tugas kepimpinan dan sebaliknya menyibukkan diri dengan jadual pengajian dalam usaha melengkapkan diri dengan bidang-bidang keilmuan Islam. Mereka biasanya bertumpu di masjid A-Azhar mengikuti kelas-kelas pengajian yang secara tidak langsung mengikat kebersamaan antara mereka. Kesempatan bertemu diisi dengan bertanya khabar dan sebagainya yang mengeratkan lagi ukhuwwah yang telah sedia terjalin.
Beralih ke aspek penglibatan pelajar-pelajar lepasan kolej dalam aktiviti-aktiviti tarbiah,cukuplah saya berbaik sangka dengan kehadiran mereka ke kelas-kelas pengajian dan usrah-usrah yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan yang bertanggungjawab terhadapnya. Mudah-mudahan magnet hati masing-masing masih sensitif terhadap tarikan kebaikan dan menolak sejauh-jauhnya seruan kejahatan syaitan dan konco-konconya.
Akhir sekali,sebagai nota ingatan buat sahabat-sahabat seperjuangan dan diri ini, saya ingin memetik kalam yang sentiasa meniti di bibir guru-guru kolej yang berbunyi,”Tiadalah kejayaan luar biasa tanpa usaha yang luar biasa”. Sekalung doa buat guru-guru yang telah membimbing dan menunjuki diri ini, moga kalian diganjari Allah segunung pahala dan sentiasa dibayangi rahmat-Nya di dunia dan negeri akhirat yang kekal abadi.
0 comments:
Post a Comment