Tamadun Islam dalam rentetan sejarahnya memaparkan peristiwa besar apabila berlakunya hijrah Nabi Muhammad SAW dan umat Islam kerana ianya menjadi titik tolak kepada kegemilangan Islam dan tamadunnya sehinggalah kurun-kurun berikutnya. Generasi Islam terawal ketika itu juga berjaya membina tamadun ulung yang berdiri utuh mendepani zaman dan mampu memimpin ketamadunan kemanusia sejagat. Umat Islam pada zaman ini perlulah menyedari bahawa menyelak semula rentetan hijrah akan mendedahkan sesungguhnya keagungan tamadun tersebut berpaksi pada masyarakatnya yang berorientasikan pemahaman Islam dan keimanan yang teguh terhadap prinsip-prinsip Islam. Tertegaknya masjid sebaik sahaja ketibaan Rasulullah SAW di Madinah yang kemudiannya berperanan membentuk masyarakat Islam pada pemikiran dan akhlaknya menjadi contoh nyata yang seharusnya diambil berat oleh pandakwah-pendakwah pada masa kini. Justeru hendaklah difahami benar oleh para penyeru Islam pada zaman ini bahawa kebangkitan umat Islam daripada kelesuan mereka hanyalah akan berlaku setelah mereka berpegang pada petunjuk Islam dan seluruh ajarannya melalui pembelajaran dan pemahaman Islam yang betul kemudian barulah tamadun Islam kembali gemilang menerajui dunia.
Umat Islam hendaklah mendalami semula ajaran Islam dengan bersungguh-sungguh sehingga mereka memahami kembali seluruh kewajiban mereka sebagai hamba Allah SWT dan mengetahui pula tanggungjawab sebagai seorang muslim terhadap jihad menegakkan Islam di zaman ini. Kebangkitan umat Islam hari ini tidak akan berdaya menebas pengaruh puaka ideologi dalam masyarakat dan tanah air umat Islam di zaman ini sehinggalah seruannya benar-benar bertunjangkan ilmu pengetahuan yang membenteng mereka dari kesesatan ,menimbulkan perasaan takut kepada Allah, serta menggerakkan ketaatan dan menunjukkan jalan beramal yang betul. Pemahaman Islam ini pula hendaklah berdasarkan disiplin dan ilmu yang bersifat merangkumi seluruh bidang keilmuan Islam sebagaimana yang telah disusun oleh ulamak Islam yang muktabar. Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 122 bermaksud:Tidak sepatutnya bagi orang-orang mukmin itu pergi semuanya(ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa kumpulan untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menyelamatkannya.
Realiti dan Cabaran Moden.
1. Kesilapan Wasilah Memahami Islam
Malapetaka besar melanda umat Islam disebabkan mereka memahami Islam berdasarkan buah fikiran pendusta-pendusta pada zaman ini. Hukum-hakam Islam tidak boleh sewenang-wenangnya diambil dari sesiapa sahaja melainkan mereka yang diistilahkan fikih Islam sebagai mujtahidin disebabkan keahlian dalam bidang-bidang keilmuan Islam melayakkan mereka menggali hukum-hakam berdasarkan disiplin ilmu-ilmu yang dimiliki tersebut. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 83 bermaksud:
Dan kalaulah mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang yang ingin mengetahuinya kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka(Rasul dan Ulil Amri).
Selain itu, umat Islam hendaklah berwaspada terhadap golongan yang pada pandangan umumnya digelar ulamak tetapi pada hakikat sebenarnya mereka teraba-teraba dalam memahami dan mengajarkan Islam disebabkan kefahaman mereka hanyalah bersandarkan juzuk-juzuk tertentu tanpa berdasarkan disiplin keilmuan Islam yang meliputi aspek-aspek ajarannya. Manakala sanjungan umum terhadap mereka hanyalah semata-mata umpanan perangkap yang sengaja dipasang oleh puak-puak berfahaman sekular Barat yang bertaringkan hawa nafsu untuk menyungkurkan masyarakat Islam tanpa disedari. Bahaya ini mestilah disedari umat Islam kerana golongan ini akan menambah biakkan lebih banyak kemudaratan dan perpecahan dalam masyarakat Islam. Kejatuhan empayar khilafah Uthmaniah seharusnya dijadikan iktibar sepanjang zaman kerana krisis pergolakan yang berlaku ketika itu antaranya berpunca daripada tingkah laku mereka yang rosak akhlaknya menyebarkan pertelingkahan di kalangan umat Islam.
2.Serangan Pemikiran
Umat Islam juga telah kehilangan benteng dalam menangkis rencana-rencana jahat musuh-musuh yang dengki terhadapnya sehingga melahirkan dua golongan sahaja di dunia ini samada muslim yang berakal kafir ataupun muslim yang berakhlak kafir. Mereka adalah generasi umat Islam yang kurang ajar dan biadap terhadap Tuhan yang menciptanya dan juga tidak lagi mengenal dan menghargai Tuhannya, Nabinya dan Islamnya. Hal ini bercanggah dengan aqliah Islam yang membentuk seorang manusia yang berorientasikan hukum agama dan melahirkan cara berfikir yang tepat terhadap perjalanan alam dan kehidupannya di dunia ini. Justeru mestilah difahami bahawa kewajiban setiap muslim di zaman ini adalah bangun berjihad membersihkan diri mereka dan umat Islam seluruhnya dari segala fahaman,ajaran dan program berfikir yang bersifat sekular itu.
Sesungguhnya generasi muda-mudi Islam yang telahpun menghirup udara kesedaran dan kebangkitan Islam di zaman ini tidak seharusnya mencuaikan tanggungjawab mereka untuk menuntut ilmu-ilmu Islam secara saksama tanpa sedikitpun pengabaian pada juzuk-juzuknya. Sebagai akhirnya cukuplah sekadar kami menyebut ilmu-ilmu Islam yang dituntut untuk mempelajarinya sebagaimana yang telah digariskan oleh Said Hawwa Rahimahullah seperti berikut:
1. Ilmu Usul Thalathah
2. Al-Quran dan Ilmu-ilmunya
3. As-Sunnah dan Ilmu-ilmunya
4. Ilmu Usul Fiqh
5. Ilmu Aqaa'id
6. Ilmu Feqah
7. Ilmu Akhlak,Tazkiah dan Suluk
8. Sirah dan Sejarah Islam
9. Ilmu-ilmu Bahasa Arab
10. Rencana-rencana Jahat ke atas Islam dan Umatnya serta Cabaran yang Dihadapi Umat
11. Kajian-kajian Islam Semasa
12. Fiqh Dakwah
0 comments:
Post a Comment